DUNIA muzik Bollywood kehilangan satu lagi suara ikonik yang mewarnai industri itu selama lebih lapan dekad selepas legenda seni suara, Asha Bhosle, meninggal dunia pada usia 92 tahun awal minggu ini.
Ratu nyanyian latar (playback) India yang tiada tandingan itu meninggal dunia di Mumbai selepas dimasukan ke hospital akibat serangan jantung.
Mendiang Bhosle dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada malam Sabtu dalam keadaan kritikal akibat komplikasi kesihatan yang serius.
Diangkat sebagai ikon budaya India, pemergian mendiang Bhosle menandakan berakhirnya satu era dalam muzik Bollywood, dengan kerjaya menjangkau lebih lapan dekad dan merangkumi lebih daripada 12,000 lagu.
Keunikan suaranya menghidupkan pelbagai lagu filem, dengan pelakon menyelaraskan gerak bibir kepada rakaman nyanyian mendiang Bohsle yang tidak dilupakan.
Pengaruh besarnya dalam Bollywood turut diabadikan menerusi lagu penghormatan Brimful of Asha oleh kumpulan Cornershop pada 1997, selain kolaborasi antarabangsa bersama pemuzik British, Boy George, melalui lagu hit, Bow Down Mister.
Suara beliau memiliki daya tarikan luar biasa yang membuatkan peminat terus teruja, menari dan menyanyi bersama, sekali gus menjadikan muziknya sebagai latar kehidupan beberapa generasi.
Berita pemergiannya turut mencetuskan gelombang penghormatan di media sosial.
Antara yang terawal yang memberikan penghormatan adalah Perdana Menteri, Narendra Modi, dengan menyifatkannya sebagai ‘antara suara paling ikonik dan versatil pernah dimiliki India.
Dalam hantaran di X, Modi berkata, perjalanan muziknya yang luar biasa memperkaya warisan budaya negara serta menyentuh hati ramai manusia di seluruh dunia.
Pelakon dan ahli politik, Hema Malini, turut meluahkan kesedihan dan menyifatkan pemergian ikon budaya itu sangat memberi kesan kerana banyak lagunya menjadi popular hasil suara serta gaya unik Bhosle.
Komposer Shankar Mahadevan pula berkata, setiap rakyat India berduka dan muzik Bhosle tidak akan pernah lenyap selagi manusia wujud.
LEGASI MUZIK LUAR BIASA
Penghormatan yang diterimanya mencerminkan pengiktirafan meluas terhadap kehebatan seni mendiang Bhosle.
Menerusi suara yang mampu beralih dengan mudah daripada balada romantik kepada lagu rancak penuh tenaga, beliau menjadi pilihan utama komposer merentasi pelbagai genre.
Kepelbagaian dan tenaga yang dimilikinya menjadikan setiap lagu seperti satu perayaan, sekali gus membentuk bunyi dan identiti muzik Bollywood sepanjang beberapa generasi.
Daripada Dum Maro Dum hingga Piya Tu Ab To Aaja, versatilitinya tiada batas. Filem seperti Teesri Manzil, Caravan, Yaadon Ki Baaraat, Ijaazat dan Saagar menampilkan antara karya paling diingatinya, manakala Umrao Jaan, hasil gubahan Khayyam, sering dianggap sebagai kemuncak kerjayanya.
Jika mendiang kakaknya, Lata Mangeshkar melambangkan keanggunan klasik dan ketepatan, Bhosle pula membawa tenaga berani dan dinamik dalam setiap nyanyiannya.
Kerjasama Bhosle bersama komposer R. D. Burman, yang kemudian menjadi suami, merupakan antara kolaborasi paling ikonik dalam Bollywood, bersama-sama mereka mencipta landskap bunyi yang merevolusikan industri tersebut.
Sepanjang lebih 25 tahun, Bhosle dan Burman membina legasi muzik yang luar biasa, dengan beliau sendiri pernah mengakui komposer itu berjaya menyerlahkan potensi terbaik dalam dirinya.
“Dialah Pancham [gelaran mesra Burman] yang membuka sepenuhnya julat suara saya sebagai penyanyi. Sehingga Pancham membuat saya meneroka sudut terdalam suara sendiri… saya langsung tidak sedar bahawa saya mampu menyanyi dengan kelenturan sebegitu,” kata mendiang Bhosle dalam satu wawancara pada 2023.
LATAR BELAKANG
Dilahirkan pada 8 September 1933 di Goar, Maharashtra, Bhosle berasal daripada keluarga Mangeshkar yang terkenal.

Dibesarkan dalam persekitaran penuh muzik oleh bapanya, Deenanath Mangeshkar, seorang pelakon dan penyanyi klasik, mendiang Bhosle memulakan perjalanan seninya sejak usia muda apabila merakam lagu pertamanya untuk filem Marathi Majha Bal pada tahun 1943.
Kerjayanya melonjak pada era 1950-an dan 1960-an apabila Bhosle muncul sebagai artis serba boleh merentasi pelbagai genre, daripada lagu filem, ghazal, bhajan, qawwali hingga pop. Kerjasama dengan komposer seperti O. P. Nayyar, R. D. Burman dan S. D. Burman menjadikan namanya dikenali di setiap isi rumah.
Lagu-lagu hit seperti Aaiye Meherbaan (1958), Parde Mein Rehne Do (1968) dan Dum Maro Dum (1971) hanyalah sebahagian kecil daripada himpunan karyanya.
Duetnya bersama legenda seperti Mohammed Rafi, Kishore Kumar dan Manna Dey kekal sebagai karya klasik sepanjang zaman.
Kehidupan peribadinya juga penuh warna seperti kerjayanya. Pada usia 16 tahun, beliau melarikan diri untuk berkahwin dengan jirannya, Ganpatrao Bhosle, yang membawa kepada pergolakan dalam perkahwinan sebelum berakhir dengan perpisahan.
Kakaknya, Mangeshkar, kemudian mendedahkan suami Bhosle mengasingkannya daripada keluarga selama bertahun-tahun. Ganpatrao turut membawanya bertemu pengarah muzik dengan tujuan meraih keuntungan daripada bakatnya serta mengawal kerjayanya, sekali gus menyebabkan kesukaran besar dalam hidupnya, menurut Lata kepada ahli sejarah filem, Nasreen Munni Kabir.
Bhosle meninggalkan suaminya pada 1960 sebagai ibu tunggal kepada tiga anak. Beliau kemudian bekerjasama rapat dengan R. D. Burman, yang dikahwininya pada 1980. Burman meninggal dunia pada 1994 pada usia 54 tahun.






