syafil.syazwan@hmetro.com.my
Foto Ahmad Ukasyah Md Idris
Shah Alam : Penyanyi, Aina Abdul sekali lagi mencuri tumpuan apabila tampil dengan busana luar biasa yang dihasilkan daripada lebih 150 helai tuala ‘Good Morning’ pada pentas Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40SA), semalam.
Membawakan lagu yang dipertandingkan berjudul Kamu, Aina menyarung rekaan hasil sentuhan pereka fesyen tersohor, Melinda Looi yang mengangkat elemen nostalgik dan simbolik di sebalik helaian tuala ikonik berkenaan.
Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, pemilihan tuala itu bukan sekadar untuk gimik fesyen semata-mata, sebaliknya ia membawa mesej ‘kepulangan’ ke pentas persaingan.
“Kenapa tuala Good Morning? Ini adalah simbolik. Selepas lagu Puas Sudah, mungkin ada yang rasa saya berehat, tetapi sebenarnya tidak. Jadi, busana ini adalah cara saya menyapa peminat dan mengatakan ‘Good Morning’, saya sudah kembali,” katanya kepada Harian Metro.
Aina turut mengakui bahawa daripada banyak rekaan yang pernah digayakan sebelum ini, busana tuala ini antara kegemarannya.
Bercerita lanjut mengenai busana berkenaan, Melinda Looi mendedahkan sebanyak 150 helai tuala digunakan bagi menyiapkan busana yang mengambil masa selama dua minggu itu.
Melinda berkongsi kisah melucukan di sebalik tabir pembikinan baju itu apabila tukang jahitnya sendiri pada mulanya sangsi dengan bahan yang digunakan.
“Tukang jahit saya semuanya makcik-makcik. Mereka kata, ‘Daripada semua baju kita jahit untuk Aina, ini yang paling buruk’. Mereka anggap ia seperti kain buruk.
“Tetapi selepas sesi ‘fitting’ dan Aina sendiri menyatakan ini adalah baju terbaik, semua orang gembira. Aina seorang artis sebenar, dia mempunyai keyakinan tinggi untuk menggayakan apa sahaja bentuk seni,” katanya.
Selain simbolik buat Aina, Melinda menyifatkan tuala ‘Good Morning’ sebagai elemen yang sangat dekat dengan memori masyarakat di Malaysia.
“Kita semua membesar dengan nenek dan ibu yang menggunakan tuala ini untuk mengelap dapur atau mencuci rumah. Ia sesuatu yang nostalgik dan ikonik.
“Walaupun mungkin orang tersayang sudah tiada, bila kita nampak tuala ini di pasar, kita akan teringat memori lama. Itulah mesej yang ingin disampaikan selari dengan jiwa lagu Kamu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






