SAM iktiraf peranan swasta perkasa industri sukan

SAM iktiraf peranan swasta perkasa industri sukan


Kuala Lumpur: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mengiktiraf komitmen syarikat swasta yang memainkan peranan aktif dalam memperkasakan industri sukan negara, khususnya di peringkat pembangunan akar umbi.

Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) disifatkan sebagai platform pembangunan badminton remaja paling konsisten dan berimpak tinggi di negara ini, dengan penganjurnya, Allianz Malaysia Berhad menampilkan komitmen luar biasa dalam mencungkil bakat baharu sukan badminton.

Sejak diperkenalkan pada 2021, kejohanan itu tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada lebih 300 peserta yang mengambil bahagian dalam 10 sirkit kelayakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Setiap juara pusingan kelayakan pula berpeluang beraksi di Grand Final dengan kos penyertaan dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya Allianz Malaysia Berhad.

Justeru, Allianz Malaysia Berhad menerusi penganjuran AJBC dipilih sebagai penerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2025 atas sumbangan besar syarikat itu dalam memperkukuh pembangunan badminton negara.

Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, pembabitan sektor swasta amat penting dalam memastikan kesinambungan pelan pembangunan sukan negara, khususnya dalam melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti yang mampu mengekalkan daya saing Malaysia di pentas antarabangsa.

“Sokongan daripada syarikat swasta dalam menjayakan pelan pembangunan sukan amat diperlukan oleh setiap badan induk sukan kebangsaan bagi memastikan kesinambungan dalam melahirkan bakat baharu.

“SAM berharap inisiatif penganjuran AJBC dapat dijadikan model kepada lebih banyak syarikat swasta untuk bersama-sama merancakkan ekosistem pembangunan akar umbi badminton negara,” katanya.

Pada edisi kali ini, Anugerah Khas sempena Anugerah SAM-100PLUS 2025 turut diberikan kepada atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet berbasikal trek para, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin.

Muhammad Irfan, 30, terus membuktikan kehebatannya dalam acara lempar cakera apabila memenangi pingat emas di Sukan Sea Thailand 2025 sambil mencipta rekod baharu temasya.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai jaguh Asia Tenggara selepas meraih emas peribadi ketujuh berturut-turut sejak mula mendominasi acara tersebut pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Beliau pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 selepas memecahkan rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 54.26 meter, mengatasi rekod sebelumnya 53.16 meter yang dilakukan beliau ketika Sukan Sea Myanmar 2013.

Sejak itu, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu terus mendominasi temasya berprestij Asia Tenggara, sebelum berjaya memadam rekod berusia 26 tahun milik Wong Tuck Yim dari Singapura dengan melakukan 60.23 meter mengatasi rekod 59.60 meter yang dilakukan pada edisi 1999 di Brunei.

Bermula dengan kayuhan santai bersama bapa mengelilingi kampung di Kuala Kangsar, Perak ketika berusia 16 tahun, membawa Mohamad Yusof ke pentas lebih tinggi untuk bergelar juara dunia 2025.

Mohamad Yusof, 28, menjadi atlet para Malaysia pertama menyarung Jersi Pelangi selepas meraih pingat emas acara MC1 200 Meter Flying Sprint di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil.

Mengimbas pencapaian terdahulu, Mohamad Yusof yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga itu pernah meraih pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2020 dalam acara 15km scratch lelaki C1, selain turut menyumbang masing-masing satu emas, perak dan gangsa pada Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.

Mohamad Yusof meneruskan kecemerlangan apabila merangkul pingat perak Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018 dalam acara pecut berpasukan C1-5 lelaki serta pencapaian tempat kelima di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dalam acara ujian masa individu lelaki C1 (lebuh raya).

Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadual berlangsung pada Rabu ini di ibu negara dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top