Hantavirus: Malaysia tingkat kesiapsiagaan saringan, makmal diagnostik

Hantavirus: Malaysia tingkat kesiapsiagaan saringan, makmal diagnostik


CYBERJAYA: Malaysia kini berada pada tahap siaga penuh daripada segi saringan pemeriksaan dan keupayaan makmal diagnostik bagi mengekang penularan hantavirus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem kesihatan negara kini berada dalam keadaan siaga dengan hospital dan makmal bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan ujian diagnostik termasuk ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

“Keupayaan makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) turut menjadi antara tulang belakang utama dalam menjalankan ujian-ujian pengesanan penyakit tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, tiada kes jangkitan tersebut melibatkan rakyat Malaysia direkodkan.

Dzulkefly berkata, Malaysia sentiasa bersedia termasuk melakukan pemantauan global secara berterusan bagi memastikan sebarang perkembangan dan trend penularan dapat dikesan lebih awal.

Katanya, antara langkah utama yang dilaksanakan adalah kawalan ketat di semua pintu masuk antarabangsa termasuk saringan kesihatan yang dipertingkatkan bagi pelawat dan kemasukan daripada kawasan berisiko.

“Selain itu, pemantauan khusus turut dijalankan ke atas sektor maritim termasuk pemeriksaan kesihatan penumpang kapal yang memasuki perairan negara, khususnya dari kawasan yang dikenal pasti berisiko,” katanya.

Katanya, daripada segi kawalan sempadan, sebanyak 22,367 kapal dan bot yang memasuki perairan negara telah diperiksa dan 2,421 notis kebenaran rasmi kesihatan telah dikeluarkan.

Pada masa sama, Dr. Dzulkefly berkata, sebanyak 1,146 sijil sanitasi telah diberikan bagi memastikan pematuhan piawaian kesihatan awam dan sanitasi antarabangsa.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mempergiatkan pemeriksaan di peringkat komuniti serta komunikasi risiko kepada orang awam bagi meningkatkan kesedaran berkaitan langkah pencegahan, kebersihan persekitaran dan keperluan mendapatkan rawatan awal sekiranya bergejala.

Jelasnya lagi, langkah bersepadu ini adalah penting bagi memastikan negara kekal bersedia, responsif dan tidak mudah leka dalam menghadapi sebarang ancaman kesihatan global. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top