FAM mahu memastikan siasatan terhadap isu dokumentasi tujuh pemain warisan dijalankan secara adil, telus dan profesional.
SUDAH tiba masanya individu yang bertanggungjawab mencemarkan imej bola sepak negara tampil mengambil tanggungjawab dan berundur secara terhormat selepas rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) gagal.
Penganalisis sukan negara, Mohd Sadek Mustaffa berkata, mereka yang diberi amanah mengurus bola sepak negara sama ada dalam FAM atau pengurusan pasukan kebangsaan perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kemelut penggantungan serta denda tujuh pemain warisan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Menurutnya, kegagalan FAM dalam rayuan tersebut membuktikan FIFA memiliki bukti yang kukuh, sekali gus menjadikan peluang untuk menang walaupun dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) amat tipis.
“Apa tindakan kepada orang-orang yang telah menconteng arang kepada bola sepak negara? Haruskah mereka terus berada dalam bola sepak negara?
“Mereka harus bertanggungjawab dan memberi ruang kepada orang lain untuk menguruskan bola sepak serta pasukan kebangsaan. Ini bukan perkara remeh dan kita tahu impaknya besar kepada bola sepak negara kerana isu ini.
“Apabila perkara seperti ini berlaku, pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain tidak mengaku salah sendiri. Bagaimana isu dokumen seperti ini boleh menjadi satu kesilapan. Akhirnya negara menanggung malu yang besar,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam masa sama, Mohd Sadek turut menyarankan agar Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan ahli jawatankuasa sedia ada diberi sokongan untuk meneruskan tanggungjawab sehingga pemilihan baharu diadakan.
Katanya, sokongan itu penting kerana FAM masih merupakan entiti sah yang diiktiraf FIFA untuk mentadbir bola sepak negara, meskipun sedang berdepan kemelut yang memalukan.
“Bola sepak Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan kepimpinan yang berintegriti dan berwawasan serta berpijak di bumi nyata,” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjadi satu-satunya individu yang digantung dan dipersalahkan dalam isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan negara yang membawa kepada hukuman denda dan penggantungan oleh FIFA.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut tidak bersetuju terhadap tindakan menggantung Noor Azman, sambil menegaskan bahawa semua pihak termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Rob Friend perlu turut bertanggungjawab.
Ringkasan AI
- Tanggungjawab atas pencemaran imej bola sepak negara harus dipikul oleh individu terlibat setelah rayuan FAM kepada FIFA gagal
- Kegagalan FAM buktikan FIFA memiliki bukti kukuh, peluang menang di CAS amat tipis
- Individu bertanggungjawab harus berundur, memberi peluang kepada orang lain mengurus bola sepak dan pasukan kebangsaan
- Mohd Sadek mencadangkan sokongan untuk Pemangku Presiden FAM dan ahli jawatankuasa sedia ada hingga pemilihan baharu
- FAM diiktiraf FIFA, perlu kepimpinan berintegriti dan berwawasan untuk maju






