Labuan: Penempatan tiga sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan akan membantu memperkukuh keupayaan pangkalan berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sistem UAV ANKA, yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries, akan meningkatkan kemampuan pengawasan perairan negara, manakala infrastruktur pangkalan pula sedang diperkukuh bagi mempertingkat kesiapsiagaan operasi serta kebajikan anggota.
“Daripada perspektif taktikal, sistem ANKA (dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries) berfungsi sebagai aset pemantauan strategik di wilayah timur.
“Langkah itu mengukuhkan lagi keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) TUDM dalam memantau ruang udara dan keselamatan maritim, selain memastikan kedaulatan negara terpelihara,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara TUDM Labuan di Membedai, hari ini.
Beliau berkata UAV berkenaan boleh beroperasi lebih 20 jam tanpa henti, suatu yang mustahil dilaksanakan oleh pesawat konvensional, dan jumlahnya mungkin akan ditambah pada masa hadapan.
Mohamed Khaled berkata struktur asfalt di No. 14 Skuadron yang mengalami kerosakan akan digantikan dengan Pavement Quality Concrete (PQC) yang lebih tahan lama, melibatkan kos bernilai RM22.5 juta dan kemajuan kerja-kerja berkenaan telah mencapai 51.77 peratus.
“Selain itu, projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di pangkalan yang bernilai RM57.3 juta pula melibatkan pembinaan pelbagai jenis kuarters, termasuk blok Kelas E dan Kelas G, serta kemudahan sokongan,” katanya sambil menambah kedua-dua projek dijangka siap antara April hingga Julai.
Beliau berkata penempatan sistem UAV berserta memperkukuh infrastruktur pangkalan membolehkan ia terus memainkan peranan penting sebagai pangkalan utama tentera udara Malaysia di wilayah timur, selari dengan keselamatan yang semakin mencabar di Laut China Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





