July 19, 2024

Ingatkan saksi agar tidak berbohong

Ingatkan saksi agar tidak berbohong


Foto hiasan.
– Advertisement –

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 99)

– Advertisement –

ABU Bakrah Bakkar bin Qutaibah, seorang kadi terkenal, apabila saksi-saksi datang kepadanya, beliau membacakan kepada mereka firman Allah Taala:

اِنَّ الَّذِيْنَ يَشْتَرُوْنَ بِعَهْدِ اللّٰهِ وَاَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيْلًا أُولَٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِى الْاٰخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللّٰهُ وَلَا يَنْظُرُ اِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيْهِمْ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang menjualbeli janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang murah, mereka itu tidak memperoleh bahagian di akhirat. Allah tidak akan menyapa mereka, tidak akan memerhatikan mereka pada hari kiamat, dan tidak akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih.” (Aali Imran: 77) [Wafayatul-A’yan, Ibn Khalikan 1/280]

Abu Bakrah Bakkar bin Qutaibah termasuk dalam kalangan ulama besar hadis di zamannya. Beliau meriwayatkan hadis Nabi SAW daripada tokoh-tokoh hadis di Basrah di zamannya seperti Al-Imam Al-Muhaddith Safwan bin Isa Az-Zuhri, Imam Abu Daud dan lain-lain.

Selama 64 tahun beliau menghabiskan usianya di Basrah. Beliau pernah dilantik sebagai kadi di Mesir pada tahun 246 H oleh khalifah Al-Mutawakkil alallah di zaman Abbasiyyah. Beliau dikenali sebagai orang yang berilmu, zuhud, warak dan banyak kelebihan. Beliau meninggal di zaman khalifah Al-Muktamid ‘Alallah.

Nabi SAW mengingatkan tentang sumpah palsu di dalam hadisnya:

من حلف على يمين كاذبة ليقتطع بها مال أحد لقي الله عز وجل وهو عليه غضبان

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dengan sumpah palsu untuk mendapatkan harta seseorang, nescaya dia akan bertemu Allah Azza wa Jalla dalam keadaan dimurkai.”

Peranan saksi sangat penting dalam menentukan keputusan hakim di mahkamah mengenai sesuatu kes. Justeru, ulama berbincang panjang lebar mengenai kedudukan saksi, syarat-syaratnya, keterangan saksi yang diterima atau ditolak dan lain-lain dalam kitab fiqh.

Saya tidak pasti setakat mana pra syarat untuk saksi ini dibincang secara halus dan lumat dalam undang-undang sivil yang ada.

Yang pasti, dalam undang-undang Islam, faktor dalaman mengenai dosa, pahala memainkan peranan sangat penting mengawal seseorang saksi itu ketika memberi keterangan di mahkamah. Dengan keterangannya yang benar, keadilan boleh ditegakkan, hak terbela dan dipulangkan kepada yang berhak. Dengan keterangan palsu, kezaliman akan tertegak, hak dicabuli dan nyawa mungkin menjadi pertaruhan.

Dengan demikian, kita menasihati kepada mereka yang menjadi saksi di mahkamah dalam apa-apa kes supaya memberi keterangan dengan benar, jangan berbohong, jangan putar-belit fakta hanya kerana kepentingan diri, duniawi yang sementara. Di akhirat sana, mahkamah RabbulJalil tetap menjatuhkan hukuman tersangat adil. Insaflah. – HARAKAHDAILY 5/6/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top