NEYMAR telah sah kembali ke kelab lamanya, Santos FC selepas menamatkan kontrak lumayan bernilai £130 juta (RM707 juta) setahun dengan kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Bintang Brazil berusia 32 tahun itu telah bersetuju dengan kontrak enam bulan bersama Santos di Brazil yang menjadi kelab pertama tempat dia mencipta nama.
Perpindahan itu menandakan perubahan yang mahu dilakukan bekas penyerang Paris Saint-Germain itu yang menyasarkan untuk memperbaiki kariernya dan mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan Brazil ke Piala Dunia 2026.
Kontrak baharu Neymar di Santos termasuk gaji pokok sebanyak £135,507 (RM737,795) sebulan, pengurangan yang besar daripada pendapatan yang diperolehnya di Arab Saudi.
Bagaimanapun, jumlah pendapatan bulanannya itu boleh mencecah £819,433 (RM4.46 juta) melalui pendapatan 90 peratus hak imejnya.
Menurut De Primeira melalui UOL Esporte, gaji pokok Neymar akan mewakili hanya 18 peratus daripada potensi jumlah pendapatannya di Santos.
Struktur pembayaran yang inovatif ini menunjukkan pendekatan kreatif kelab itu untuk mengembalikan bekas bintang mereka ke Brazil walaupun berdepan kekangan kewangan.
Konsep sama digunakan ketika permulaan karier Neymar antara 2010 dan 2013 apabila dia memperoleh gaji asas £40,683 tetapi mendapat kira-kira £429,147 setiap bulan hasil perjanjian hak imej yang serupa.
Karier Neymar di Al-Hilal agak mengecewakan dengan pemain Brazil itu hanya membuat tujuh penampilan dan menjaringkan satu gol sepanjang 17 bulan berada di sini.
Dia berdepan beberapa siri kecederaan serius yang menyaksikan dia terpaksa berehat panjang sebelum Al-Hilal membuat keputusan untuk penamatan kontrak secara persetujuan bersama.