PEMAIN perseorangan badminton wanita negara, S Kisona membuka gelanggang Thailand Masters dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain India, Tanya Hemanth dalam perlawanan pusingan pertama.
Bagaimanapun pemain nombor 72 dunia itu diberikan tentangan sengit pada set pertama oleh Tanya yang berstatus 58 dengan kekalahan 15-21 di Nimibutr Arena, Bangkok pada Rabu.
Kisona kemudian tampil memperkemaskan permainannya bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-11 pada set kedua.
Set ketiga, Kisona dengan motivasi terbaik tidak menoleh ke belakang meneruskan momentum positif dengan mengeluarkan lawannya dari Super 300 itu apabila menang 21-13 dalam masa 53 minit.
Pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan pemain India, Mithun Manjunath straight set 21-14, 21-13 dalam masa 40 minit.
Bagaimanapun sebelum itu hasrat untuk melihat Cheam June Wei mengikuti jejak Aidil tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain India, S Sankar, 15-21, 21-15, 19-21 dalam perlawanan sengit 72 minit.
Seorang lagi wakil negara, Justin Hoh turut tersingkir awal apabila gagal mengekalkan konsistensi apabila tunduk kepada wakil Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah dalam masa 56 minit.
Justin
Justin antara pemain selain Leong Jun Hao yang memperkuatkan cabaran negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di China bulan depan, unggul set pertama 21-17 sebelum longlai dua set berikutnya, 12-21, 13-21.
Cabaran perseorangan lelaki negara diteruskan Kok Jing Hong yang mengejutkan bintang muda India, Ayush Shetty, apabila menang straight set 21-15, 21-17 dalam masa 39 minit.
Sementara itu, beregu campuran negara, Loo Bing Kun-Ho Lo Ee tidak berdepan masalah menewaskan wakil dari Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman, 21-13, 21-6 dalam masa 22 minit.