September 8, 2024

'Ini kali ke-8 alami gangguan air' – Peniaga

'Ini kali ke-8 alami gangguan air' – Peniaga



am@hmetro.com.my

Rawang: Peniaga terpaksa menutup sebahagian besar restoran dan kedai makan di sekitar Kundang di sini, selepas mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai.

Pengusaha restoran ikan bakar, Muhammad Firdaus Ramli, 39, berkata sejak setahun dia berniaga, ia adalah kali kelapan gangguan air berlaku disebabkan pencemaran sungai.

“Ada masa kami terima notis dan ada kalanya tiada, kami terpaksa menutup kedai sehingga kerja-kerja merawat pencemaran selesai.

“Saya perlu membayar kepada jiran untuk mengambil bekalan air di rumahnya untuk digunakan dalam bahan masakan,” katanya ketika ditemui BH hari ini.

Beliau juga perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli tong bagi menyimpan air.

“Saya memerlukan lebih 20 liter air sehari kerana kedai dibuka daripada pagi hingga ke malam.

“Walaupun sudah menerima bekalan air daripada jiran, kadang-kala saya juga mendapatkan bekalan air daripada surau,” katanya yang menutup kedai selama dua hari bermula kelmarin sehingga semalam akibat tiada bekalan air.

Pengusaha gerai nasi kandar, Azizul Arshad Adam Malik, 26, berkata apabila mengalami gangguan bekalan air, pelanggannya akan berkurangan dan sanggup ke tempat yang lebih jauh.

“Apabila berdepan gangguan bekalan air, kami gunakan sudu dan garfu plastik. Bukan kami tidak mahu mencuci perkakas itu, tetapi tidak boleh mencuci kerana tiada air.

“Agak rugi bagi kami kerana pelanggan tidak selesa menggunakan sudu dan garfu plastik kerana ia mudah patah. Jika ada gangguan bekalan air, notis perlu dikeluarkan untuk kami mengambil cuti atau menadah bekalan air dengan lebih banyak,” katanya.

Sebelum ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dilapor membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah di sini, susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

Agensi itu berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap premis yang terbabit dalam insiden itu.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis berkenaan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim, dilaporkan berkata, gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Katanya, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) beroperasi selepas bacaan 0 ton dicatatkan tiga kali berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top