‘Ini sumbangan terakhir saya untuk JDT’ – TMJ

‘Ini sumbangan terakhir saya untuk JDT’ – TMJ


Pusat latihan baharu JDT akan menjadi sumbangan terakhir Tunku Mahkota Ismail untuk kelab itu. Foto: HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan komitmen berterusan baginda dalam melonjakkan mutu sukan bola sepak di Johor dengan mengumumkan pembangunan fasa baharu bagi infrastruktur kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baginda yang juga pemilik JDT bertitah, selain perancangan menaik taraf Stadium Sultan Ibrahim ke fasa seterusnya, Stadium Larkin juga bakal diberikan nafas baharu menerusi projek naik taraf menyeluruh.

Namun, tumpuan utama baginda kini terarah kepada pembangunan pusat latihan baharu yang menjadi ‘buah tangan’ terakhir baginda untuk kelab berkenaan.

“Pusat latihan baharu ini adalah sumbangan terakhir saya untuk JDT FC. Ia akan menjadi antara yang terbaik di dunia yang boleh dibanggakan oleh semua penyokong Johor,” titah baginda.

Pada Selasa, baginda berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan Pusat Latihan Baharu JDT itu di Iskandar Puteri.

Menurut hantaran di laman sosial rasmi kelab tersebut, pusat latihan berpusat itu bakal menjadi hab utama bagi kesemua pasukan JDT merangkumi skuad junior hingga skuad senior.

Antara kemudahan bertaraf dunia yang bakal disediakan termasuklah beberapa padang latihan, fasiliti latihan tertutup, pusat perubatan, stadium mini, auditorium serta pelbagai kemudahan lain.



Source link

OR

Scroll to Top