Malaysia rangkul trofi kuadran, Anwar bangga semangat juang pemain

Malaysia rangkul trofi kuadran, Anwar bangga semangat juang pemain


Skuad sepak takraw negara muncul juara acara kuadran selepas menewaskan India dalam perlawanan akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa malam tadi. Foto: Bernama

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad kuadran negara atas kejayaan muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026, pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata kejayaan itu bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan anak watan memiliki kecekalan, kesatuan tekad dan kemampuan untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Syabas wira negara. Semangat juang yang dipamerkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Tahniah,” kata beliau.

Skuad negara menjulang trofi sulung acara kuadran selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini malam tadi.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi itu menerima tonik tambahan hasil sokongan luar biasa kira-kira 3,000 penonton yang membanjiri stadium yang juga dikenali sebagai Home of Sepak Takraw itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top