Program Insentif Haji Muassasah Selangor diteruskan pada 2026 dengan beberapa penambahbaikan, termasuk peningkatan jumlah sumbangan daripada RM1,000 kepada RM1,500 bagi setiap jemaah yang layak.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI sebagai usaha berterusan membantu jemaah haji muassasah dari negeri ini.
Menurut beliau, sejak diperkenalkan pada 2022 seramai 18,000 jemaah haji muassasah telah menerima manfaat menerusi program berkenaan, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM9 juta disalurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Yayasan MBI.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor turut meneruskan Program Insentif Jemaah Haji Muassasah Tajaan Penuh yang mula diperkenalkan pada 2024 khusus bagi golongan yang memerlukan. Bagi tahun 2025, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Tabung Haji, yang menyaksikan seramai 46 jemaah ditaja sepenuhnya untuk menunaikan ibadah haji.
“Insentif ini akan diteruskan pada 2026 dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta dan dijangka memberi peluang kepada seramai 75 bakal jemaah untuk mengerjakan ibadah haji,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor sebelum ini.






