KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang maut terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Kampung Weston dekat Beaufort, Sabah, kelmarin mengadu penat bekerja sebelum meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.56 petang itu, Allahyarham Nur Hafiz Rahim, 29, maut bersama dua rakan sekerjanya, Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Kakak kepada Nur Hafiz, Nurlella, 34, berkata, perkara itu diluahkan oleh Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik ketika berbual melalui panggilan video bersama ibunya, Maimunah Mat Hassan, 57 pada pagi sebelum kejadian.
Katanya, arwah adiknya kerap menghubungi ibu mereka melalui panggilan video untuk bertanya khabar antara satu sama lain.
“Pagi sebelum kejadian, arwah mengadu penat bekerja dan hanya tersenyum ketika ibu bercakap. Dia ada memaklumkan akan menelefonnya semula selepas itu kerana perlu masuk bekerja.
“Ibu bagaimanapun tidak menerima panggilan sebelum dikejutkan dengan berita arwah meninggal dunia ketika mengait buah kelapa,” ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh di sini, hari ini.
Nurlella yang bekerja di Ipoh, Perak berkata, arwah yang bertugas selama lima tahun sebagai anggota polis di Sabah bertemu ahli keluarga yang lain buat kali terakhir pada Mei lalu ketika pulang bercuti di Kelantan.
Katanya, Allahyarham Nur Hafiz membawa isterinya, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, dan anaknya, Hariz Idraqi yang berusia dua tahun ke Sabah sejak lebih setahun lalu.
“Sebelum ini, isteri arwah bekerja dan berhenti selepas melahirkan anak mereka sebelum mengambil keputusan berpindah ke Sabah.
“Kami sekeluarga berjumpa dengan arwah hanya dua kali setahun kerana dia sentiasa sibuk dengan tugasannya,” ujarnya.
Terdahulu, jenazah Nur Hafiz tiba di rumah ibu mentuanya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini kira-kira pukul 4.45 pagi.
Lebih 100 ahli keluarga terdekat termasuk pegawai dan anggota polis hadir pada upacara pengkebumian yang bermula kira-kira pukul 7 hingga 7.45 pagi ini. – UTUSAN






