Insiden baling botol: TMJ nasihat penyokong JDT jaga tingkah laku

Insiden baling botol: TMJ nasihat penyokong JDT jaga tingkah laku


Laporan Sinar Harian berhubung insiden pembantu pengadil dibaling botol ketika perlawanan JDT menentang Buriram.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menasihati penyokong bola sepak agar menjaga tingkah laku dan tidak bertindak keterlaluan susulan insiden baling botol yang berlaku semasa perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, insiden tersebut yang pertama kali berlaku di Stadium Sultan Ibrahim amat memalukan serta tidak mencerminkan budaya bangsa Johor.

“Perkara ini pun, kalau tidak silap saya, pertama kali berlaku sejak SSI dibuka. Jadi, janganlah buat begitu kerana ia amat memalukan dan itu bukan cara kita orang Johor. Kita tahu, di stadium, itu bukan cara kita.

“Stadium ini pun sudah mendapat liputan antarabangsa dan bakal menjadi hos pada September untuk Piala Dunia Pempengaruh serta pelbagai program lain, termasuk beberapa pasukan antarabangsa yang akan menjalani pramusim di situ.

“Kita sebagai bangsa Johor kena jaga tingkah laku dan imej kita. Walaupun keputusan itu amat menyakitkan, tetapi tidaklah sampai kita harus bertindak sebegitu,” titah baginda dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong JDT pada Rabu.

Insiden baling botol itu berlaku ketika jaringan gol penyamaan oleh JDT menerusi Jorge Obregon pada masa kecederaan dibatalkan selepas pembantu pengadil mengangkat bendera, menandakan pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan itu menyebabkan segelintir penyokong JDT kecewa dan bertindak membaling botol ke dalam kawasan padang.

Semakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas itu turut mengesahkan Obregon berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus menyaksikan Buriram United berjaya mara ke perlawanan suku akhir ACLE.

Baginda juga mengakui bahawa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengenakan denda besar kepada JDT.

“Kita pun tak tahu dan kena tunggu. Tapi awak kena fikir, tingkah laku itu yang menjadi mangsa adalah kelab kita juga.

“Sebelum buat apa-apa, kena berfikir dulu. Ini nasihat saya kepada semua, jangan terlalu ikut emosi,” titah baginda.



Source link

OR

Scroll to Top