September 8, 2024

IPP meningkat 2.4% pada Mei 2024

IPP meningkat 2.4% pada Mei 2024


KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024, didorong oleh pertumbuhan output yang stabil dalam sektor Pembuatan.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, IPP kekal positif pada Mei 2024, mencatatkan pertumbuhan 2.4 peratus tahun ke tahun (April 2024: 6.1%) dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 4.6 peritus (April 2024: 4.9%) dan pengembangan 4.2 peratus dalam output elektrik (April 2024: 7.8%).

Bagaimanapun, pengeluaran sektor perlombongan merosot 6.9 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 10.0 peratus yang direkodkan pada April 2024.

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP pulih kepada 3.5 peritus daripada negatif 7.6 peratus.

“Pertumbuhan stabil dalam output sektor pembuatan disokong peningkatan dalam industri berorientasikan eksport, yang meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding 2.6 peratus yang direkodkan pada April 2024.

“Ini merupakan pertumbuhan tertinggi yang dicatatkan sejak November 2022
(5.1%), didorong terutamanya oleh pemulihan yang kukuh dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal kepada 8.4 peratus (April 2024: -1.4%); dan peningkatan 4.8 peratus dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (April 2024: 2.7%).

“Momentum pertumbuhan ini turut digambarkan dalam prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 13.5 peratus pada Mei 2024 (April 2024: 11.9%). Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport meningkat 9.0 peratus berbanding negatif 11.6 peratus pada April 2024,” katanya.

Pada masa sama, pertumbuhan pengeluaran industri berorientasikan domestik kekal kukuh sebanyak 6.4 peratus selepas mencatatkan 9.5 peratus pada April 2024.

Pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler merupakan penyumbang utama dengan peningkatan sebanyak 10.3 peratus; diikuti oleh pembuatan produk galian bukan logam lain (9.8%); dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan (6.5%).

Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik berkembang 2.3 peratus (April 2024: -1.3%).

Mohd Uzir menambah, kemerosotan 6.9 peratus dalam sektor perlombongan pada Mei 2024 disebabkan oleh penurunan pertumbuhan dua digit
dalam pengeluaran Gas Asli iaitu pada negatif 10.3 peratus (April 2024: 14.9%), dan kejatuhan 1.9 peratus dalam output minyak mentah & kondensat (April 2024: 3.5%).

Indeks perlombongan menyusut 8.9 peratus selepas menyusut 6.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024 (April 2024: 7.8%).

Perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik pulih kepada 5.6 peratus (April 2024: -4.0%).

Pada Mei 2024, IPP menunjukkan peningkatan trend bagi beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Vietnam, dan Taiwan. bagaimanapun menyederhana di China dan Korea Selatan sementara Thailand mencatatkanpenyusutan.

“IPP bertambah baik iaitu sebanyak 3.6 peratus berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pada tempoh tersebut, kesemua sektor mencatatkan pengembangan, iaitu indeks perlombongan (4.1%); indeks pembuatan (3.1%); dan indeks elektrik (7.8%),” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top