aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan berwawasan serta sokongan berterusan dalam memartabatkan Sepaktakraw sebagai sukan berprestasi tinggi dan warisan Melayu di pentas dunia.
Sokongan Perdana Menteri menerusi agenda Malaysia MADANI memberi inspirasi baharu kepada atlet, jurulatih dan komuniti sukan untuk melihat Sepaktakraw sebagai platform pembangunan belia, perpaduan nasional dan diplomasi antarabangsa.
Presiden ASTAF merangkap Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, kepimpinan Perdana Menteri yang memahami kepentingan warisan budaya dalam sistem moden berteraskan ilmu, sains sukan dan tadbir urus berakauntabiliti telah membuka era baharu dalam pembangunan sukan itu.
“Perdana Menteri banyak memberi dorongan kepada usaha mengangkat Sepaktakraw sebagai lambang budaya dan jati diri Malaysia. Kami yakin dengan sokongan kerajaan, impian melihat sukan ini disenaraikan dalam Sukan Olimpik akan menjadi kenyataan,” katanya.
Menurutnya, ISTAF dan ASTAF turut menghargai komitmen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam memperkukuh pembangunan Sepaktakraw menerusi penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASM) yang bakal menjadi pusat kecemerlangan bertaraf dunia.
“Usaha Hannah menjadikan Sepaktakraw sebagai sukan perpaduan nasional amat selaras dengan semangat Malaysia Madani. Sukan ini bukan milik satu kaum, tetapi milik semua rakyat Malaysia,” katanya.
ASTAF dan ISTAF turut menyanjung peranan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang banyak membantu memperkukuh kedudukan Sepaktakraw di rantau Asia menerusi hubungan eratnya dengan Majlis Olimpik Asia (OCA). Hubungan itu berjaya mengekalkan Sepaktakraw sebagai acara rasmi di Sukan Asia Doha 2030 dan Riyadh 2034.
Halim berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa apabila Malaysia memimpin dengan visi dan komitmen, warisan bangsa bukan sekadar dipertahan tetapi terus diangkat sebagai simbol kekuatan dan maruah dunia Melayu di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd





