Istiqamah Berhijab, Elly Mazlein Tolak Tawaran RM500,000! Bersyukur Dikurniakan Peluang Lain

Istiqamah Berhijab, Elly Mazlein Tolak Tawaran RM500,000! Bersyukur Dikurniakan Peluang Lain


Pengacara popular Elly Mazlein kekal istiqamah dengan penampilan berhijab biarpun menerima tawaran menjadi duta dengan bayaran mewah berjumlah RM500,000.

Tekad dengan keputusan untuk kekal dengan pendirian, figura yang mesra disapa dengan nama Kak Lina Pom Pom ini menolak tawaran yang memerlukan dia membuka tudung.

“Sebenarnya, saya ada terima satu tawaran dengan bayaran mewah ketika mula-mula berhijab dulu. Memang apa yang ditawarkan itu sangat menarik, sampai setengah juta ringgit, tetapi syarat yang ditetapkan adalah saya perlu kembali ke imej lama.

“Saya sendiri terus menolak kerana saya sudah bertudung. Apabila saya dah buat keputusan dan menetapkan pendirian, walaupun ditawarkan macam mana sekali pun, saya kekal dengan pendirian saya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap Pujian Ustazah Asma’ Harun Sebagai Doa, Elly Mazlein Dedah Peminat Minta Tutorial Gaya Tudung

Tambah hos program Mentor Otai ini, jenama yang memberi tawaran ini maklum dengan statusnya yang baru sahaja memakai tudung, namun tetap mencuba nasib mengemukakan tawaran.

“Masa itu memang awal-awal saya bertudung dan mereka tahu. Mereka letak harga RM500,000. Tapi saya beritahu saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.

“Sekiranya mereka mahu saya juga, kena ikut cara dan syarat saya. Pendirian saya sudah tetap, saya kekal memakai tudung. Saya menolak tawaran yang diberikan dengan baik.

“Mereka terima keputusan saya. Tipulah kalau saya tidak terfikir dengan tawaran mewah yang diberikan, tapi saya sendiri percaya dengan ketentuan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Masih Dalam Proses Belajar, Saya Selesa Bertudung Tutup Dada” – Gaya Hijab Dipuji, Elly Mazlein Berterima Kasih Peminat Titip Doa

“Saya percaya akan ada rezeki untuk saya di tempat lain. Alhamdulillah, saya menyambung kontrak dengan Jakel dan saya juga sangat bersyukur dapat menjadi muse bagi jenama Ariani Luxe untuk Syawal 2026,” katanya kepada XTRA.

Elly berkongsi perkara itu ketika ditemui di Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 di KLCC memperkenalkan tema warna Aidilfitri sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan, sekali gus menampilkan lebih 400 variasi hijab serta 300,000 helai busana raya RTW. Koleksi kali ini mengetengahkan rona Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green, selain rekaan bermotif alam, flora dan cetakan abstrak kontemporari. Walaupun sekitar 140 rekaan dipersembahkan di pentas, koleksi penuh RTW menawarkan lebih 600 rekaan merangkumi saiz bayi hingga dewasa dengan penggunaan material premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani berkata, Aidilfitri membawa makna kebersamaan bersama insan tersayang, manakala persalinan raya melambangkan kegembiraan dan kenangan seisi keluarga.

Elly turut membuka tirai pertunjukan sebagai Muse Ariani Luxe 2026, memperagakan tudung eksklusif berperincian French lace dan kristal Swarovski.

Pertunjukan itu mengekalkan tiga duta utama Ariani iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaima Arshad, selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah Ariani RTW Premium. Kolaborasi tahun kedua bersama Liberty London turut diumumkan menerusi 16 cetakan baharu eksklusif, manakala koleksi lelaki ARYAN memperkenalkan Bront Palarae sebagai duta.

Ariani turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu di KLGCC, sementara majlis diserikan dengan persembahan Datuk M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina serta kehadiran Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor.



Source link

OR

Scroll to Top