Pintu Rumah Bangsa terbuka luas! UMNO terima kembali Hishammuddin, KJ, Syed Hamid

Pintu Rumah Bangsa terbuka luas! UMNO terima kembali Hishammuddin, KJ, Syed Hamid


UMNO menerima semula seramai 6,252 bekas pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat menerusi gagasan ‘Rumah Bangsa’ selepas diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan.

“YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Syed Hamid Albar bersama 6,252 bekas pimpinan dan ahli di pelbagai peringkat DITERIMA KEMBALI ke RUMAH BANGSA oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini,” katanya ringkas.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam mesyuarat sama, MKT turut meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan parti bagi membolehkan pendaftaran ahli dibuat secara dalam talian.

Langkah itu bertujuan memudahkan kemasukan ahli baharu, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Dalam perkembangan berkaitan, UMNO menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup susulan inflasi global dan kesan konflik di Iran.

“Majlis Kerja Tertinggi menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan,” katanya.

Sehubungan itu, negeri yang diterajui UMNO seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran menyalurkan bantuan tambahan kepada rakyat terjejas.

Artikel lain: Inisiatif Rumah Bangsa: UMNO tak terkesan dilabel ‘rumah hantu’ -Tok Mat

Selain itu, sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 5 Mei ini di World Trade Centre Kuala Lumpur, beberapa program utama akan diadakan termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera serta karnival keusahawanan dan pendidikan.

Mesyuarat sama turut membenarkan sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid bagi tahun yang tidak melibatkan pemilihan parti, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.

Sumber: FB DR ASYRAF WAJDI DUSUKI





Source link

OR

Scroll to Top