ISU beberapa atlet olahraga negara yang dilaporkan memboikot latihan akan diselesaikan secara baik menerusi pendekatan menang-menang, kata Presiden Olahraga Malaysia (OM), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, siasatan terperinci akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil, dengan jaminan bahawa kebajikan atlet akan terus menjadi keutamaan.
“Saya belum terima maklumat lengkap lagi dan akan siasat perkara ini. Insya-ALLAH kita akan adakan mesyuarat pada 24 April.
“Kita akan ambil tindakan serta-merta, tapi secara menang-menang. Saya tidak mahu mana-mana pihak terganggu, latihan perlu diteruskan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa atlet pecut negara tidak menyertai latihan yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal, Robert Ballard sejak sebulan lalu.
Shahidan turut menjelaskan bahawa pembangunan atlet bukan proses yang mudah dan memerlukan masa, perancangan dan pendekatan menyeluruh.
“Kita tidak boleh buat keputusan mendadak. Setiap tindakan mesti adil kepada semua pihak.
“Saya akan cuba minimumkan masalah ini dan pastikan penyelesaiannya dilakukan secara harmoni. Sebagai presiden, saya akan pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.
Terdahulu, tiga atlet ternama iaitu Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan; pemegang rekod kebangsaan 100m wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli; dan juara berganda SUKMA Sarawak, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal dilaporkan enggan menyertai program latihan Ballard.
Khairul Hafiz mendakwa tiada program latihan berkesan dilaksanakan sejak Ballard menyertai kem olahraga dua tahun lalu, manakala Zaidatul memilih untuk kembali menggunakan program latihan di bawah bekas jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, Majlis Sukan Negara (MSN) pada 10 April lalu bersetuju dengan permintaan OM untuk melantik enam jurulatih baharu, termasuk tiga jurulatih luar negara dan tiga jurulatih tempatan, dalam bidang pecut, lontaran dan lompatan menjelang kejohanan utama seperti Sukan SEA 2025 di Thailand.
OR