July 27, 2024

Isu pameran DSA, NATSEC: Malaysia tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global – Mohamed Khaled

Isu pameran DSA, NATSEC: Malaysia tidak campur tangan urusan perniagaan syarikat global – Mohamed Khaled



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan syarikat global dengan mana-mana negara tertentu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau memberi reaksi itu selepas pihaknya mengambil maklum mengenai desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024, di sini.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan bebas yang memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Justeru, Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan negara tertentu.

“Hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan yang tidak akan Malaysia campur tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, penganjuran pameran itu adalah jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

Katanya, ia membolehkan Kerajaan dari pelbagai negara dan pemain industri global meneroka pelbagai teknologi serta inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing.

“Pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

“Sebaliknya, ia dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turkiye, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia & Herzegovina dan Pakistan.

“Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata, DSA dan NATSEC Asia 2024 juga adalah satu pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Kerajaan Malaysia tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam penganjurannya.

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

“Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas Palestin.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top