Isu skuad berbasikal lebuh raya tak patut timbul – Jefri

Isu skuad berbasikal lebuh raya tak patut timbul – Jefri


Jefri. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jeffry Ngadirin menegaskan isu yang dicetuskan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai persiapan skuad lebuh raya ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini tidak sepatutnya timbul.

Beliau berkata, ini kerana perbincangan sudah dibuat bersama badan induk itu pada mesyuarat persiapan atlet ke temasya tersebut Januari lepas.

Malah tambahnya persetujuan dicapai bahawa pasukan bagi acara lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional sama ada Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC)

“Sebahagian peruntukan RM300,000 yang diluluskan sudah pun disalurkan kepada PKBM bagi tujuan persiapan ke Sukan SEA.

“Terpulang kepada PKBM untuk memilih pasukan mana, sama ada TSG atau MPC untuk ke Sukan SEA nanti.

“Jadi saya rasa tidak sepatutnya timbul isu persiapan tidak dibuat dengan baik kerana ia menjadi tanggungjawab PKBM untuk memilih pasukan terbaik mewakili negara,”

Beliau ditemui media selepas majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024 di Petaling Jaya pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Lebuh Raya PKBM, Azman Abu Samah memaklumkan Malaysia berisiko kehilangan pingat emas dalam acara itu jika pelumba daripada TSG dan MPC menarik diri akibat kekangan bajet.

Beliau mendedahkan kedua-dua pasukan tersebut memberi bayangan tidak akan menyertai temasya berkenaan sekiranya PKBM gagal memenuhi tuntutan kewangan yang dikemukakan.

Jeffry menjelaskan bahawa jika PKBM memilih TSG, keperluan berkaitan peralatan tidak menjadi masalah kerana pasukan tersebut sudah memiliki kelengkapan diperlukan.

“Jadi keperluan itu bergantung kepada siapa yang PKBM akan pilih nanti,” katanya.

Justeru beliau sentiasa terbuka untuk berbincang dengan PKBM sekiranya badan induk itu mempunyai perancangan lain bagi memastikan persiapan ke Sukan SEA berjalan lancar.

“Kita sudah berbincang beberapa kali dengan PKBM sebelum ini. Jadi sekiranya mereka mempunyai perancangan lain, boleh kembali duduk berbincang dengan MSN.

“Kita akan tengok keperluan-keperluan mereka untuk persiapan ke temasya dwitahunan itu,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top