Itali selangkah menjulang Piala Davis

Itali selangkah menjulang Piala Davis


Bologna: Itali kini selangkah memburu gelaran ketiga berturut-turut Piala Davis selepas Flavio Cobolli menyelamatkan pasukannya untuk menewaskan pemain Belgium, Zizou Bergs dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan, Jumaat lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu, disorak oleh penyokong sendiri, menundukkan Bergs 6-3, 6-7(5), 7-6(15) dalam satu tiebreak set ketiga yang dianggap antara yang terbaik dalam sejarah Davis Cup.

Kedua-dua pemain mempamerkan aksi bertenaga dengan rali permainan menarik.

Namun Cobolli lebih bertuah apabila dia menyumbang tujuh mata terakhir untuk memastikan kemenangan memihak Itali, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh di arena.

“Dalam lima tahun saya menjadi kapten, saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Perlawanan ini luar biasa, pada akhirnya lima peratus taktik dan 95 peratus jiwa ketika beraksi,” kata kapten Itali, Filippo Volandri.

Sebelum itu, Matteo Berrettini membuka langkah dengan menewaskan Raphael Collignon 6-3, 6-4, meletakkan Itali di depan.

Ia adalah kemenangan kelapan berturut-turut Berrettini dalam kejohanan itu, termasuk enam kemenangan tahun lalu ketika Itali menjuarai final menentang Belanda.

Itali akan berdepan pemenang antara Jerman atau Sepanyol pada final nanti, dengan peluang untuk menjadi negara pertama memenangi tiga gelaran berturut-turut sejak 1971.

Dengan kemenangan ini, Itali kini mengekalkan rekod 12 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dan menjadi negara pertama sejak Australia pada 2001 yang mara ke tiga final berturut-turut Piala Davis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top