Jadi orang tengah kes di Raub ganggu penguatkuasaan undang-undang

Jadi orang tengah kes di Raub ganggu penguatkuasaan undang-undang


BAGAN SERAI: Tindakan DAP cuba menjadi orang tengah dalam isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang mengganggu proses penguatkuasaan undang-undang yang sedang berjalan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mempersoalkan sama ada tindakan DAP itu merupakan satu campur tangan terhadap tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap penceroboh tanah kerajaan.

Menurutnya, pencerobohan tanah adalah perkara yang membabitkan pelanggaran undang-undang dan bukan isu perkauman.

“Saya harap DAP kalau betul nak jadi orang tengah, jadilah juga orang tengah dalam kes rompakan, pembunuhan, lanun dan sebagainya. Kalau semua perkara jenayah pun nak jadi orang tengah, apa lagi fungsi undang-undang di negara ini?

“Isu di Raub ini bukan soal bangsa. Kita pernah lihat bekas tentera Melayu sendiri dikenakan tindakan dan didenda kerana menceroboh tanah. Jadi tak timbul soal perkauman. Yang melanggar undang-undang tetap kena hadapi tindakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anjuran Pas Bagan Serai di sini hari ini.

Idris mempersoalkan keikhlasan DAP yang kononnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang sering dilaungkan.

“Sebelum ini kita dengar pemimpin UMNO kata mereka boleh berkawan dengan DAP sebab DAP kononnya menjunjung Perlembagaan tapi bila timbul isu yang jelas melanggar undang-undang, kenapa nak jadi orang tengah pula?

“Kalau betul-betul menjunjung Perlembagaan, kena tegas dan hormat proses undang-undang, bukan campur tangan,” katanya.

Sebelum ini DAP Pahang bersedia untuk memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan pekebun durian khususnya di Raub bagi membuka ruang rundingan yang konstruktif demi mencari jalan penyelesaian yang baik secara harmoni.

Dalam satu kenyataan menjelaskan, DAP menjelaskan komitmen ini bagi meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top