Jalan Gua Musang-Lojing akan dibuka semula pada 21 Mei

Jalan Gua Musang-Lojing akan dibuka semula pada 21 Mei


Gua Musang: Jalan Gua Musang-Lojing yang ditutup sejak 3 Disember tahun lepas akibat tanah runtuh dijangka dibuka semula kepada pengguna pada 21 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata pembinaan jalan lencongan sementara di lokasi terjejas kini hampir siap dan dijangka mula digunakan pada Khamis ini.

Beliau berkata pembukaan laluan itu amat penting bagi memulihkan semula hubungan pengangkutan antara Kelantan, Pahang dan Perak yang terjejas sejak kejadian tanah runtuh berlaku.

“Pembukaan laluan ini sudah tentu penting dalam memulihkan rangkaian pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi antara negeri, khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan terus berusaha sedaya upaya. Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya serta Menteri Kerja Raya atas keprihatinan dan kerjasama erat dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Izani berkata laluan berkenaan hanyalah jalan lencongan sementara dan pengguna diminta sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan Jalan Gua Musang-Lojing FT185 Seksyen 107.6 di Pos Blau runtuh dipercayai akibat pergerakan air bawah tanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top