Jamal Nasir tegur Cklamovski

Jamal Nasir tegur Cklamovski

Jamal Nasir tegur Cklamovski


Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. (Gambar kecil: Jamal Nasir)

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegur pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski supaya lebih menghormati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tidak terlalu cepat berasa selesa selepas kemenangan ke atas Laos dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, Khamis lalu.

Menurut Jamal Nasir, beliau senada dengan kenyataan Cklamovski bahawa Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memainkan peranan besar dalam membantu meningkatkan tahap profesionalisme skuad kebangsaan.

Namun, beliau mengingatkan pengendali dari Australia itu bahawa pasukan Harimau Malaya tetap berada di bawah nama dan tanggungjawab FAM.

“Saya tak nafikan peranan yang dimainkan oleh Tunku Ismail, tetapi kena ingat bahawa pasukan ini di bawah FAM, bukan individu.

“Sebagai jurulatih, dia kena hormat badan induk itu, bukan mengkritik. FAM boleh ambil tindakan ke atas jurulatih itu jika perlu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah Jamal Nasir, tindakan jurulatih menuding jari kepada FAM bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menjejaskan hubungan baik antara pengurusan pasukan dan badan induk itu.

Komen Jamal Nasir itu hadir selepas Cklamovski tampil mempertahankan Tunku Ismail berhubung isu penggantungan tujuh pemain warisan yang membawa kepada hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas FAM baru-baru ini.

Jurulatih berusia 46 tahun itu mendakwa, kesilapan dokumentasi adalah tanggungjawab penuh FAM, bukannya Tunku Ismail sambil menyifatkan kritikan terhadap baginda sebagai tidak adil.

Jamal Nasir turut mengingatkan Cklamovski supaya tidak terlalu mendabik dada selepas kemenangan 3-0 ke atas Laos, sebaliknya mengekalkan tumpuan terhadap cabaran lebih besar menanti Harimau Malaya selepas ini.

“Jangan rasa sombong atas kemenangan ke atas Laos. Perjalanan masih panjang lagi,” katanya.

Ringkasan AI

  • Datuk Jamal Nasir Ismail menegur Peter Cklamovski supaya menghormati FAM dan tidak cepat berasa selesa selepas kemenangan atas Laos
  • Jamal Nasir setuju peranan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam meningkatkan profesionalisme skuad kebangsaan
  • Jamal Nasir mengingatkan Cklamovski bahawa pasukan Harimau Malaya di bawah tanggungjawab FAM
  • Tindakan menuding jari kepada FAM oleh Cklamovski dilihat tidak wajar dan boleh menjejaskan hubungan dengan badan induk
  • Jamal Nasir mengingatkan Cklamovski untuk tidak sombong dan kekal fokus untuk cabaran seterusnya



Source link

OR

Scroll to Top