Jangan besarkan isu sampah himpunan, fokus kritikan rakyat

Jangan besarkan isu sampah himpunan, fokus kritikan rakyat


PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan supaya tidak meremehkan luahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran dengan memperbesar isu remeh seperti jumlah kutipan sampah di Himpunan Turun Anwar, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan tersebut hanya bersifat defensif dan tidak memaparkan keterbukaan kerajaan yang sebenar.

“Kita harus berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap himpunan ini. Tindakan membesarkan isu seperti jumlah sampah yang dikutip mungkin kelihatan remeh, tetapi ia boleh dilihat sebagai memperlekeh keresahan rakyat malah memberi mesej perkauman secara tersirat.

“Ini bukan niatnya, tetapi politik adalah tentang persepsi. Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur, dan mengalihkan fokus keterbukaan kerajaan dan kelemahan hujah pembangkang,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial X, hari ini.

Nik Nazmi berkata, kerajaan bagaimanapun perlu terus bekerja untuk rakyat meskipun dikritik rakyat secara terbuka serta menjadi pencetus untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu asas rakyat membabitkan kos sara hidup, keadilan sosial, dan masa hadapan ekonomi negara.

“Isu-isu dasar inilah yang kemudian akan diolah dan dibakar dengan sentimen kaum dan agama agar lebih tular bagi meraih undi, walaupun menyebabkan rakyat papa kedana. Masa hadapan negara ini tidak dibina dengan retorik, tetapi dengan kejujuran, kerja keras, dan kesediaan untuk mendengar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, malah berdasarkan maklumat yang diterima daripada agensi pembersihan awam, sebanyak 20 tan sampah telah ditinggalkan merata-rata oleh peserta perhimpunan berkenaan.

Perkara itu mencetuskan perdebatan hangat di Sidang Dewan Rakyat kelmarin.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top