Jangan Hukum Berdasarkan Video Pendek, Saifuddin Arah Siasatan Segera Insiden Pijak Kepala

Jangan Hukum Berdasarkan Video Pendek, Saifuddin Arah Siasatan Segera Insiden Pijak Kepala


Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular membabitkan dakwaan seorang anggota polis memijak kepala suspek di Kulim, Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rakaman yang tersebar di media sosial hanya memaparkan detik singkat tanpa menggambarkan keseluruhan situasi sebenar ketika kejadian berlaku.

“Yang kita tengok itu tempohnya sangat singkat, namun sebelum itu bagaimana? Sebelum itu, adakah subjek yang ditahan bertindak agresif? Adakah dia menggerakkan motosikal melawan arus? Adakah berlaku insiden dia melanggar kenderaan polis?

Saya bagi beberapa tip, beberapa ‘hint’,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas video berdurasi 29 saat yang tular memaparkan kejadian seorang lelaki ditahan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim.

Dalam rakaman itu, suspek dilihat ditarik sehingga motosikalnya terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis terbabit.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan siasatan menyeluruh bagi meneliti sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam insiden berkenaan.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan oleh polis, mereka sudah ada satu SOP yang semua anggota yang menjalankan tugas sudah sedia maklum.

“Tentunya dalam perkara ini (kes di Kulim), saya sudah pun hubungi Ketua Polis Kedah untuk segerakan siasatan, semak sama ada ada kepatuhan tatacara dari segi penguatkuasaan,” katanya.

Menurutnya, sebarang tindakan susulan termasuk kemungkinan melibatkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) hanya akan diputuskan selepas siasatan lengkap dijalankan.

“Kalau pada akhir siasatan itu menunjukkan ada keperluan untuk menggerakkan JIPS bagi menilai sama ada terdapat pelanggaran SOP atau tidak, saya perlu meneliti semua aspek. Tidak boleh membuat tindakan semberono.

“Itu akan merentap semangat anggota polis ketika menjalankan penguatkuasaan kerana suspek kadangkala bersikap agresif,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan moral anggota yang menjalankan tugas di lapangan.






Source link

OR

Scroll to Top