nurul.hidayah@hmetro.com.my
Putrajaya: Inisiatif penandaan harga ubat yang dilaksanakan bermula semalam diyakini tidak akan menyebabkan berlakunya manipulasi harga.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana rata-rata industri farmasi dan fasiliti kesihatan swasta di negara ini adalah profesional, matang serta beretika dalam melaksanakan perniagaan mereka.
“Saya yakin apabila perintah ini dilaksanakan, tidak ada pihak yang akan cuba untuk memanipulasi (harga ubat) kerana hasrat asalnya berkaitan penandaan harga bagi ubat.
“Kami tidak pernah melarang atau tidak pernah ada cadangan untuk mengawal harga ubat. Apa yang sedang dijual oleh klinik dan farmasi, (mereka) jual. Apa yang diperlukan melalui peraturan ini adalah untuk menandakan harga ubat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media berhubung inisiatif pemaparan harga ubat di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Dr Azuana Ramli.
Sementara itu, Dr Azuana Ramli berkata, KKM belum mempunyai perancangan untuk menguatkuasakan kawalan bagi harga ubat.
“Ketika ini, fokus kementerian adalah tertumpu kepada ketelusan harga ubat supaya pengguna boleh merancang dan memilih ubat-ubatan.
“Saya rasa kawalan harga ubat belum ada lagi dalam perancangan kita. Sebelum ini pernah ada dibincangkan, namun saya rasa untuk membuat kawalan harga ubat perlu ada banyak sesi libat urus dan kajian dijalankan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti perlu meletakkan tanda harga ubat.
Perintah itu dilaksanakan di bawah inisiatif Penandaan Harga Ubat di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta dan Farmasi Komuniti kerjasama antara KKM dan KPDN.
© New Straits Times Press (M) Bhd