Jangan mudah mengucapkan doa laknat 

Jangan mudah mengucapkan doa laknat 


Nabi SAW merupakan insan terpilih yang wajib kita jadikan tauladan dan ikutan dalam kehidupan sekiranya kita mahu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Antara akhlak mulia baginda SAW yang perlu dicontohi ialah baginda sangat memelihara lisan dan tutur katanya. Ketika ada sebahagian sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah, doakanlah kecelakaan ke atas kaum musyrikin itu.” Lalu baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diutus untuk menjadi pelaknat, tetapi aku diutus sebagai rahmat.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah akhlak mulia Nabi SAW dalam berdakwah kepada kaum musyrikin. Akhlak mulia ini patut dicontohi oleh para pendakwah kerana dakwah perlu dilakukan dengan hati yang penuh dengan kasih sayang dan belas ihsan terhadap orang yang didakwah. Bukan dengan hati yang penuh dengan rasa benci dan marah. Melainkan rasa benci dan marah itu semata-mata kerana Allah SWT sebagaimana rasa kasih dan sayang juga mestilah kerana Allah SWT.  

Jika demikian hal keadaan Nabi SAW dengan kaum musyrikin, maka orang Islam yang menjadi ahli maksiat atau ahli bidaah tidaklah lebih hina daripada kaum musyrikin itu disebabkan mereka masih mengucapkan dua kalimah syahadah. Maka, tidak sepatutnya seorang pendakwah mengucapkan kata-kata laknat terhadap mereka seperti ‘laknatullah si polan’ dengan menyebut namanya secara khusus.

Pendakwah yang berpegang teguh dengan prinsip Ahlus Sunnah Waljamaah tidak akan mudah melaknat atau mencaci maki orang lain. Daripada Ibnu Mas’ud RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang mukmin itu seorang yang suka mencaci, melaknat, berperangai keji mahupun bercakap kotor.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)

Dalam berhadapan dengan golongan ahli bidaah misalnya, pendakwah perlulah bersabar dalam usaha menarik mereka kembali kepada kebenaran. Meskipun mereka mempunyai akhlak buruk, suka mencaci dan melaknat, malah mengkafirkan orang yang tidak mengikut aliran bidaahnya, namun janganlah dibalas dengan akhlak yang sama. Jika tidak, kita hanya menjadi penolong syaitan memarakkan lagi api persengketaan sesama manusia yang amat disukai oleh mereka. Memadailah akhlak buruk golongan ahli bidaah itu bagi mereka yang berakal waras sebagai petanda kepada kesesatan dan penyimpangan mereka daripada kebenaran. Adapun bagi pendakwah, sebaiknya mereka mengucapkan doa yang baik seperti “Semoga Allah memberi hidayah kepadamu” atau yang seumpamanya. 

Janganlah mudah melaknat kerana laknat tersebut boleh kembali kepada diri pelaknat. Pernah seorang lelaki di zaman Nabi SAW yang kain selendangnya diterbangkan oleh angin, lalu ia pun melaknat angin tersebut. Maka, Nabi SAW bersabda: “Janganlah engkau melaknatnya, kerana sesungguhnya ia hanya diperintah. Sesungguhnya sesiapa yang melaknat sesuatu, padahal ia tidak berhak mendapatkan laknat itu, maka laknat tersebut akan kembali kepada dirinya.” (Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi. Hadis sahih)  

Walaupun demikian, Imam an-Nawawi dalam  al-Azkar  (halaman 567) menyatakan harus melaknat ahli maksiat yang tidak ditentukan nama secara khusus dan yang sudah diketahui kejahatannya. Ini berdasarkan banyak hadis sahih, antaranya sabda Nabi SAW: “Semoga Allah melaknat wanita yang menyambungkan rambutnya dan yang meminta disambungkan rambutnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim), sabda Nabi SAW: “Semoga Allah melaknat orang yang memakan riba.” (Riwayat Muslim), sabda Nabi SAW: “Semoga Allah melaknat orang yang menukar tanda sempadan tanah.” (Riwayat Muslim), sabda Nabi SAW: “Ya Allah, laknatilah Ri’l, Zakwan dan ‘Usayyah (tiga kabilah Arab) yang menderhakai Allah dan rasul-Nya.” (Riwayat Muslim), dan sabda Nabi SAW: “Semoga Allah melaknat kaum Yahudi tatkala diharamkan ke atas mereka lemak binatang, lalu mereka pun menjualnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Menurut Imam an-Nawawi, melaknat seorang Muslim yang dipelihara haknya adalah haram dengan ijmak umat Islam. Namun, harus melaknat golongan yang bersifat dengan sifat mazmumah secara umum sepertimana yang telah dijelaskan. Adapun, melaknat seseorang insan tertentu secara khusus daripada kalangan orang yang bersifat dengan sesuatu perbuatan maksiat, sama ada seorang Yahudi, seorang Nasrani, penzalim, penzina, pencuri atau pemakan riba, maka zahir hadis-hadis tadi menunjukkan ia tidaklah haram. Namun, Imam al-Ghazali cenderung kepada keharamannya kecuali pada hak orang yang kita tahu ia mati dalam keadaan kufur seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Firaun, Haman dan seumpama mereka. Menurutnya, kerana melaknat ialah menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah SWT, sedangkan kita tidak mengetahui kesudahan akhir bagi orang fasik atau kafir berkenaan. Adapun orang-orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW secara khusus, maka harus ditafsirkan bahawa baginda SAW telah mengetahui tentang kematian mereka dalam keadaan kufur.   

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top