LIPIS: “Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri.”
Demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentang kegusaran rakyat berkenaan isu dan tuntutan yang dikemukakan oleh golongan bukan warganegara yang dibantu di negara ini.
Baginda bertitah, pihak berkuasa perlu bertindak tegas, bijaksana dan berhemah berdasarkan undang-undang dalam menangani isu bukan warganegara yang ditumpangkan di negara ini.
Titah Sultan Pahang, kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat dipertahan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.
“Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
“Namun rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negeri dan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” titah baginda ketika bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.
“Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya. Rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperikemanusiaan. Namun, kemurahan hati itu jangan sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan,” titah baginda. – UTUSAN






