Jawatan MPKK bukan sesuatu dibanggakan, tapi tanggungjawab diamanahkan – MB

Jawatan MPKK bukan sesuatu dibanggakan, tapi tanggungjawab diamanahkan – MB


KANGAR: Jawatan Majlis Pembangunan dan Kemajuan Kampung (MPKK) bukan satu kedudukan untuk dibanggakan, sebaliknya menjadi tanggungjawab besar yang menuntut komitmen, disiplin dan kesediaan bekerja tanpa mengira masa serta kepentingan peribadi.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengingatkan, setiap ahli MPKK hendaklah sentiasa mengamalkan tadbir urus baik, telus, bersikap adil serta inklusif tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan agama.

Katanya, MPKK juga perlu mengutamakan perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kampung selain sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta komuniti setempat.

“Ahli MPKK juga hendaklah membantu kerajaan negeri dalam memastikan matlamat pembangunan desa seperti pembasmian kemiskinan, pemodenan desa dan kemajuan pembangunan dapat dicapai.

“Selain itu, MPKK haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif sebagai pemangkin pembangunan kampung, pemelihara keselamatan dan keharmonian masyarakat serta pemudah cara dalam menangani isu-isu sosial, ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya pada majlis pertauliahan Pengerusi dan Setiausaha MPKK Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, MPKK merupakan rakan strategik kepada kerajaan negeri dengan segala
perancangan dan dasar kerajaan tidak akan berjaya sekiranya tidak diterjemahkan dengan berkesan di peringkat kampung.

“Oleh itu, saya juga menyeru agar MPKK menjadi barisan hadapan dalam usaha untuk menyokong agenda pembangunan mampan, memupuk semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat, membantu membanteras gejala sosial dan ancaman keselamatan serta menyantuni golongan yang memerlukan dengan penuh ihsan,” katanya.

Abu Bakar turut menzahirkan harapan agar semua pengerusi dan setiausaha MPKK yang dilantik bagi tempoh 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2027 dapat menjadi role model atau contoh yang baik kepada masyarakat setempat.

“Sikap muhibah, berlapang dada serta berfikiran positif perlulah sentiasa diamalkan pengerusi, setiausaha dan AJK MPKK yang dilantik.

“Buanglah sikap negatif seperti sombong, bongkak, bersikap pilih kasih dan berat sebelah yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top