rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Parra akan lebih berhati-hati mengemudi benteng pertahanan bagi memastikan tiada sebarang penalti pada pertembungan menentang Shanghai Shenhua dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Bekas pemain Liga Sepanyol, Deportivo Eldense berkata, pada perlawanan itu nanti bukan sahaja membabitkan perang taktikal malah pemain akan berdepan corak permainan fizikal dan sudah tentu tempoh 90 minit perlawanan akan mencabar.
“Jurulatih (Xisco Munoz) kerap mengingatkan kami supaya mengekalkan intensiti permainan dan bermain secara kompak dan saingan ACLE ia bukan sahaja terarah kepada taktikal tapi juga bermain secara fizikal dan kami kena berhati-hati apabila berada di dalam kotak penalti sendiri.
“Jadi kami perlu bertahan secara berpasukan dan mengelak membuat kesilapan dan paling mustahak daripada penjaga gol ke posisi serangan dan kami harus beraksi konsisten dan kita juga bersedia dengan provokasi pasukan lawan dan bermain secara agresif.
“Untuk aksi lawan kelab dari China itu, kami perlu kekalkan momentum ketika menang ke atas Chengdu Rongcheng 2-0 baru-baru ini kerana ia bagaikan menyuntik keyakinan kami bagi mengharungi saingan ACLE dan beraksi sebagai satu pasukan,” kata Parra
Sementara itu, penjaga gol Shanghai Shenhua FC, Zhou Zhengkai, berazam untuk menghalang apa jua percubaan berbahaya barisan serangan JDT terutama rangkaian serangan Jairo da Silva, Bergson da Silva atau Romel Morales pada aksi yang dianggap penuh debaran.
“Berdepan JDT mungkin beri cabaran buat kami tapi kami sudah bersedia dan faktor cuaca panas bukan penghalang kerana di China cuaca lebih panas pada musim panas.
© New Straits Times Press (M) Bhd






