JDT kekalkan kejuaraan MPFL 2025 buat kali kedua berturut-turut

JDT kekalkan kejuaraan MPFL 2025 buat kali kedua berturut-turut


JDT mengesahkan kejuaraan Divisyen 1 MPFL 2025 buat kali kedua berturut-turut biarpun masih berbaki satu perlawanan musim ini.

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT), mengesahkan kejuaraan Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025 buat kali kedua berturut-turut biarpun masih berbaki satu perlawanan musim ini.

Skuad kendalian Juan Miguel Antonio Garcia itu mengesahkan kejuaraan selepas mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Sabah dalam perlawanan ke-13 di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu.

Jaringan kemenangan Harimau Selatan dijelmakan oleh Bruno Taffy (minit ke-18), Firdaus Ambiah (m-29), Awalluddin Mat Nawi (m-32) dan Mohamad Danial (m-38), manakala satu-satunya gol Sabah hadir seawal minit kedua menerusi Taufiq Ahmad.

Skuad futsal JDT. Foto : FAM

Skuad futsal JDT. Foto : FAM

Kemenangan ini merupakan kejayaan ke-13 berturut-turut buat JDT musim ini, sekali gus mengumpul 39 mata maksimum dengan hanya satu perlawanan berbaki menentang Selangor FC minggu depan.

Fokus JDT kini beralih kepada misi mempertahankan kejuaraan Piala Futsal Malaysia, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda buat pasukan dari selatan tanah air itu.

Untuk rekod, JDT muncul juara Piala Futsal Malaysia musim lalu selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dalam perkembangan lain, Selangor muncul naib juara MPFL musim ini selepas mengumpul 33 mata hasil 11 kemenangan dan dua kekalahan, juga dengan satu perlawanan berbaki.

Selangor terdahulu berpesta gol menewaskan Pahang Rangers FC 7-2 dalam satu perlawanan yang menyaksikan sembilan jaringan keseluruhan oleh kedua-dua pasukan.

Gol Selangor disumbangkan Borges Evandro (m-3), Khairul Effendy (m-14, m-17, m-25), Syahir Iqbal (m-19, m-29), dan Saiful Nizam (m-26), manakala Pahang Rangers bimbingan Luis Fonseca meraih jaringan menerusi Felipe De Souza (m-24) dan Matheus Moura (m-39).



Source link

OR

Scroll to Top