firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gelaran Liga Super musim ini sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali ke-12 berturut-turut apabila berjaya menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Biarpun masih berbaki lima aksi liga, namun kelebihan 18 mata di depan pasukan di tangga kedua Selangor FC menyaksikan kedudukan itu tidak dapat lagi kejar, sekali gus JDT sudah boleh ‘bermain bunga api’ lebih awal musim ini.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu bukan saja terus menjarakkan kedudukan liga, malah mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan sepanjang musim ini.
Dalam aksi itu, dua gol dibatalkan pengadil masing-masing untuk JDT dan DPMM FC.
Sebaliknya gol tunggal perlawanan diraih menerusi sepakan percuma jarak jauh Ager Aketxe yang tepat menuju ke penjuru atas jaring pada minit 32.
Tuan rumah yang memerlukan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan memberi saingan sengit khususnya di babak kedua dengan beberapa percubaan dilancarkan.
Namun JDT yang mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit nyata cukup ampuh bertahan untuk menangkis asakan barisan pemain tuan rumah yang dikendalikan McAllister James Reynolds.
Sebaliknya pelawat menambah dua lagi gol menerusi Oscar Arribas dan Marcos Guilherme, masing-masing di minit 73 dan 76.
Di hujung permainan, DPMM FC terpaksa bermain 10 orang selepas Fairuz Zakaria dilayangkan kad merah susulan sikuan ke atas pemain JDT.
© New Straits Times Press (M) Bhd






