July 19, 2024

JDT selesa ke separuh akhir Piala FA

JDT selesa ke separuh akhir Piala FA


JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA penuh bergaya apabila menewaskan skuad Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University Football Team (MUFT), 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Turun dengan bekalan selesa hasil kemenangan 5-0, pada aksi suku akhir pertama di venue sama minggu lalu menjadikan agregat 13-0, JDT dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan.

JDT berpeluang membuka jaringan pada minit ke-8, namun tandukan penyerang import, Romel Morales terkena tiang.

Ini disusuli dengan tiga percubaan termasuk sepakan percuma daripada Juan Muniz yang hampir menambah jaringan buat skuad Harimau Selatan itu, dalam tempoh 10 minit.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Sepanyol itu akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-18 apabila percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Syed Muhammad Irfan Syed Mohd Jamil.

JDT kemudiannya meledak gol kedua, hasil jaringan Heberty Fernandes yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27.

Seminit berselang, Heberty sekali lagi mencatat nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-28.

Minit ke-34, menyaksikan giliran tonggak pertahanan, Muhamad Feroz Baharudin menggegar jaring pelawat untuk tuan rumah selesa mendahului empat gol sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan jDT semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan itu perlu menunggu hingga minit ke-60, bagi menjaringkan gol kelima hasil jaringan Francisco Geraldes.

Minit ke-71, giliran penyerang JDT, Romel Morales, meledak gol keenam setelah berjaya melepasi kawalan benteng pertahanan.

JDT semakin melebarkan jurang gol apabila pemain gantian, Bergson Da Silva menjaringkan gol ketujuh pada minit ke-78.

Penghujung perlawanan menyaksikan Morales meledak satu lagi gol pada masa kecederaan dan sekali gus melengkapkan kemenangan selesa skuad Harimau Selatan ke atas skuad The University Tigers itu.

JDT – Ahmad Syihan Hazmi, Matthew Davies, Jordi Amat (kapten), Francisco Geraldes, Murilo Santos, Muhammad Feroz Baharuddin, Romel Morales, Juan Muniz, Endrick Dos Santos, Heberty Fernandes, Arif Aiman Mohd Hanapi

MUFT – Syed Muhammad Irfan Syed Mohd Jamil, Muhammad Zharuf Nazhan Refli, Mohd Syahirah Abdul Rahman, Amirul Fazly Mohd Zamri, Muhammad Arif Danial Mohd Zawawi (kapten), Muhammad Hadi Mohamad, Nazri Aiman Azmi, Hausen Shwahiri Has oni Shawal, Muhammad Nash ran Elias, Vicki Owen Marin us, Nik Akmal Real Aminun Izham

Pengadil – Mohamad Faizudin Ismail

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top