JDT berpesta belasah MUFT 8-0

JDT berpesta belasah MUFT 8-0


ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) menang bergaya apabila berjaya menundukkan skuad Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University Football Team (MUFT) 8-0 dalam perlawanan
Suku Akhir Kedua Piala FA 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Kemenangan tersebut membuatkan skuad Harimau Selatan itu mudah mara ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 13-0.

Selepas ini JDT selaku juara bertahan akan berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang lawan pada 20 Julai ini.

Jaringan pertama JDT bermula pada minit ke-20 apabila Juan Muniz melakukan rembatan lencong tepat ke penjuru kanan pintu gol lawan sekali gus berjaya mengelirukan penjaga gol pelawat, Syed Muhammad Irfan Syafiq Syed Mohd Kamil.

Gawang lawan bolos lagi menerusi sepakan penalti pada minit ke-26 yang disempurnakan Heberty Fernandes apabila tuan rumah dianugerahkan kelebihan itu selepas Francisco De Oliveira dikasari Muhammad Nashran Elias.

Pesta gol skuad Harimau Selatan itu diteruskan pada minit ke-29 apabila Heberty sekali lagi mencetak nama selaku penjaring selepas menyudahkan hantaran Francisco De Oliveira.

JDT terus membolosi gawang pasukan pelawat yang dibarisi enam pemain berusia bawah 23 tahun itu apabila Muhamad Feroz Baharudin menyempurnakan sepakan penjuru Arif Aiman pada minit ke-34, menjadikan kedudukan 4-0 sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

JDT meneruskan jaringan apabila Francisco De Oliveira berjaya menewaskan penjaga gol menerusi percent jarak dekat dari dalam kotak penalti pada minit ke-60.

Pasukan tuan rumah meneruskan pesta jaringan menerusi percubaan cantik Romel Ramires pada minit ke-72 menewaskan penjaga gol pelawat, hasil bola hantaran Arif Aiman.

Jaringan ketujuh Harimau Selatan terhasil sekali lagi menerusi hantaran Arif Aiman yang berjaya disempurnakan Bergsen pada minit ke-78.

JDT terus mengorak langkah ke depan menerusi jaringan Romel Ramires pada masa tambahan menjadikan keputusan 8-0 dalam perlawanan itu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top