‘Messi juga manusia biasa’

‘Messi juga manusia biasa’


JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni berkata, media tidak perlu terlalu mensensasikan kegagalan Lionel Messi menyempurnakan penalti semasa perlawanan peringkat kalah mati Copa America 2024 menentang Ecuador di Houston, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Perlawanan di Stadium NRG itu menyaksikan Messi yang mengambil sepakan pertama gagal menewaskan penjaga gol Ecuador dalam penentuan penalti selepas permainan sebenar terikat 1-1.

Messi melepaskan sepakan ala Panenka namun bola terlalu tinggi dan terkena palang.

Bagaimanapun, penjaga gol terbaik FIFA 2023 – Emiliano Martinez menebus kesilapan Messi dengan menyelamatkan dua percubaan Ecuador untuk Argentina muncul pemenang dengan keputusan 4-2 sekali gus merebut slot separuh akhir.

“Dia (Messi) bermain seperti pemain lain dan kami adalah sebuah pasukan.

“Jika pasukan beraksi dengan baik, dia juga bermain dengan baik.

“Kami tidak pernah memisahkan individu daripada pasukan,” ujar Scaloni sambil menegaskan kecederaan otot dialami Messi tidak menjejaskan rentaknya di atas padang.

Dalam perlawanan itu, Messi sekadar melakukan 32 sentuhan dengan hanya satu daripada di dalam kotak penalti Ecuador.

Ditanya sama ada ketiadaan Messi akibat kecederaan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan mempengaruhi prestasinya, Scaloni menjawab; “Tidak!”

Sebelum itu Argentina mendahului permainan pada minit ke-35 menerusi Lisandro Martinez, namun Ecuador mengheret perlawanan ke penentuan penalti dengan jaringan penyamaan Kevin Rodriguez dalam masa kecederaan.

Menanti Argentina di separuh akhir nanti adalah pemenang perlawanan antara Venezuela dan Kanada yang berlangsung hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top