Jelitawan diikat pemain Mexico bernilai RM160 juta

Jelitawan diikat pemain Mexico bernilai RM160 juta


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik ketajaman penyudah penyerang sensasi Mexico, Santiago Gimenez, berdirinya seorang wanita jelita yang sering mencuri tumpuan lensa kamera, iaitu isterinya, Maria Fernanda Serrano Coto atau lebih mesra disapa Fer Serrano.

Bintang berbisa AC Milan bernilai mencecah RM160 juta itu bakal membuat penampilan sulungnya di pentas Piala Dunia FIFA 2026 dan Fer Serrano pastinya menjadi antara individu paling sibuk bersorak di bangku penonton.

Walaupun bergelar isteri kepada bintang bola sepak ternama, wanita berusia 28 tahun ini langsung tidak menumpang populariti suaminya kerana dia memiliki profil kerjaya yang hebat sebagai pelakon, pengacara televisyen, penerbit dan pempengaruh media sosial terkenal di sekitar Amerika Latin.

Lebih menarik, bibit cinta pasangan dua sejoli ini bermula dengan cara yang cukup unik apabila mereka mula berkenalan ketika leka bermain permainan video Call of Duty: Warzone sewaktu tempoh kuarantin pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Bermula sekadar ‘rakan sepasukan’ di alam maya, hubungan itu mekar ke dunia realiti apabila Santiago bertindak berani melamar wanita kelahiran Mexico ini di atas sebuah kapal layar mewah sebelum mereka sah bergelar suami isteri pada Mei 2024.

Menjengah ke akaun Instagram @ferserranoc yang menempatkan ratusan ribu pengikut, dia aktif mempamerkan gaya hidup estetik dengan perkongsian fesyen OOTD glamor serta vlog percutian mewah ke pelbagai destinasi menarik.

Namun, tarikan utama di laman sosialnya sudah tentu keghairahannya sebagai penyokong nombor satu Santiago kerana dia sentiasa hadir memberikan sokongan moral di tempat duduk VIP, tidak kira ketika suaminya beraksi bersama Feyenoord mahupun di San Siro kini.

Menjelang kemuncak saingan Piala Dunia 2026 kelak, kehadiran Fer Serrano di negara kelahirannya sendiri yang turut bergelar tuan rumah bersama pasti terus menjadi buruan lensa kamera di tempat duduk penonton.

Luka lama melihat suaminya tercicir daripada skuad Qatar 2022 kini terubat apabila jelitawan ini dilaporkan sudah bersiap sedia untuk menawan barisan hadapan stadium ikonik seperti Estadio Azteca.

Sorakan padu Fer Serrano yang bakal merentasi Amerika Utara kelak pastinya menjadi azimat paling ampuh buat Santiago dalam misi memikul harapan menggunung 130 juta rakyat Mexico di pentas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top