Jendela perpindahan kedua Liga M hambar, tunggakan gaji berterusan

Jendela perpindahan kedua Liga M hambar, tunggakan gaji berterusan



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 yang berakhir Ahad lalu agak suram tanpa sebarang faktor kejutan membabitkan pasukan bertaraf gergasi.

Malah, lebih menyedihkan barisan pemain yang tersepit dengan situasi tunggakan gaji dilihat tidak mampu melarikan diri daripada masalah itu apabila tidak menerima sebarang tawaran lain.

Berdasarkan situasi semasa, meskipun ramai pemain berdepan isu tunggakan gaji, mereka dilihat terpaksa bertahan kerana tidak mempunyai banyak pilihan untuk ‘melompat’ ke pasukan baharu yang tiada masalah dari aspek pembayaran gaji.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, masalah kewangan yang dihadapi kebanyakan pasukan musim ini memberi cabaran besar buat pemain dalam meneruskan kelangsungan hidup dan karier mereka.

Beliau yang lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain berkata, mengikut kontrak biasa pemain berhak atau boleh menamatkan kontrak dengan pasukan mereka sekiranya tidak menerima gaji melebihi dua bulan.

“Pemain yang tidak dibayar gaji dua bulan boleh mencari pasukan baharu apabila mereka kena buat surat kepada majikan memaklumkan niat untuk keluar.

“Surat kena hantar juga kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Apabila sudah dapat kelulusan, mereka boleh keluar.

“Namun, sekarang ini pemain yang ada isu tunggakan gaji pun mereka nak pergi mana? Sebab banyak pasukan ada masalah. Mereka nak lompat dari api ke api yang lain, tak boleh.

“Pasukan yang tiada masalah seperti Selangor dan JDT (Johor Darul Ta’zim) pula sudah lengkap (pemain). Jadi, mereka nak pergi mana? Kalau nak pergi ke pasukan Liga A1 pun, dekat sana banyak pasukan ada masalah juga.

“Ketika ini pemain tersepit dan senario dalam Liga M ketika ini agak sukar dan mencabar buat pemain berikutan masalah kewangan yang dihadapi pasukan musim ini lebih teruk berbanding sebelum ini,” katanya.

Mengikut rekod, hanya beberapa pasukan saja ‘membeli-belah’ dalam tempoh jendela perpindahan kedua antaranya Kelantan Darul Naim (KDN) FC, JDT dan Kuching City FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top