July 19, 2024

Jentera Perpaduan jangan terlalu yakin rampas Sungai Bakap – Ahmad

Jentera Perpaduan jangan terlalu yakin rampas Sungai Bakap – Ahmad


NIBONG TEBAL – Jentera Kerajaan Perpaduan tidak boleh menjadikan kekuatan kerusi Parlimen Nibong Tebal dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh sebagai batu loncatan untuk menawan Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sebaliknya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jentera parti kerajaan perlu bekerja lebih keras untuk merampas kerusi milik pembangkang itu.

“Saya nak sarankan kepada jentera (parti kerajaan) jangan over confident (terlalu yakin) complacent (leka) kerana kita ada Ahli Parlimen (Fadhlina Sidek, Nibong Tebal) dan EXCO (Sungai Acheh, Rashidi Zinul) daripada kerajaan Perpaduan bermakna kita boleh mudah tawan Sungai Bakap.

“Kita nak tawan (Sungai Bakap) perlu kerja berlipat kali ganda,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Pegawai jabatan berkenaan di Jawi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad turut meminta pengundi membuat pilihan tepat agar wakil rakyat yang dipilih mampu menyelesaikan masalah berbangkit di kawasan mereka.

“Harap pengundi buat pilihan tepat kerana yang akan selesaikan masalah mereka misalnya berkaitan air dan tanah bukan daripada Adun pembangkang tapi Adun kerajaan jadi lebih mudah untuk kita.

“Tak ada siapa di belakang calon PN (Perikatan Nasional) tetapi di belakang calon Perpaduan ada perdana menteri, timbalannya, menteri, ketua menteri, exco yang boleh membantu menyampaikan hasrat pengundi lebih berkesan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top