Jeonbuk balas dendam, tundukkan Selangor 1-0

Jeonbuk balas dendam, tundukkan Selangor 1-0


Selangor tewas dalam aksi ACL2 kepada Jeonbuk. FOTO: Selangor FC

KELAB Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors menundukkan Selangor FC 1-0 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Piala Dunia Jeonju pada Khamis.

Kemenangan itu sekali gus membalas dendam kekalahan mereka kepada Gergasi Merah dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Oktober lalu.

Tuan rumah tampil dengan persembahan meyakinkan menguasai bola sepanjang 45 minit pertama menyaksikan skuad kendalian Abdi Hassan lebih banyak berkampung di laman sendiri.

Jeonbuk meledak gol tunggal yang juga gol kemenangan selepas 22 minit perlawanan menerusi Tiago Orobo yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Kwon Chang-hoon.

Selangor juga mempunyai peluang untuk mengancam gawang Jeonbuk menerusi Ali Olwan pada minit ke-35, namun percubaannya itu ditepis penjaga gol Kim Jeong-hoon.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor tampil lebih baik dan hampir mendapatkan gol penyamaan menerusi Ali pada minit ke-60 sebelum percubaannya hanya menggegar palang.

Kedudukan tersebut kekal sehingga perlawanan tamat menyaksikan Selangor jatuh ke kedudukan kedua Kumpulan H dengan tujuh mata dan Jeonbuk naik ke kedudukan pertama dengan sembilan mata.



Source link

OR

Scroll to Top