SYDNEY: Syarikat penerbangan tambang murah Australia, Jetstar mengumumkan akan mula mengenakan bayaran bagi penggunaan ruang simpanan beg di bahagian atas kabin pesawat, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penumpang.
Bermula Februari depan, syarikat itu akan memansuhkan had biasa beg kabin seberat tujuh kilogram (kg). Sebaliknya, semua penumpang hanya dibenarkan membawa beg lebih kecil yang boleh diletakkan di bawah tempat duduk di hadapan mereka.
Penumpang yang mahu membawa beg lebih besar dan menyimpannya di ruang atas kabin perlu membayar caj tambahan, yang turut merangkumi kemudahan menaiki pesawat lebih awal.
Jetstar berkata, langkah itu dibuat selepas menjalankan kajian menyeluruh dan menerima maklum balas daripada pelanggan, selain mengikut dasar yang telah digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan tambang murah lain.
Namun, pengumuman itu menerima reaksi berbeza di media sosial, dengan sebahagian pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan sama ada syarikat itu akan mengenakan bayaran untuk menggunakan tandas pesawat pada masa akan datang.
Dalam satu kenyataan, Jetstar berkata, bayaran untuk ruang simpanan beg di atas kabin pesawat akan bermula daripada 25 dolar Australia (RM72) bagi penerbangan jarak dekat seperti laluan Launceston ke Sydney, namun jumlah sebenar boleh berubah.
Sebagai contoh, penerbangan dari Cairns ke Tokyo akan dikenakan bayaran sekitar 52 dolar Australia (RM149).
Jurucakap Jetstar memberitahu BBC, harga yang diumumkan hanyalah contoh munasabah dan kadar sebenar boleh meningkat berdasarkan permintaan, menyebabkan harga tidak dapat dijamin.
Jetstar berkata, syarikat itu juga tidak lagi akan menimbang beg penumpang secara rutin sebelum menaiki pesawat. Bagaimanapun, pelanggan diminta memastikan berat beg tidak melebihi 10 kilogram supaya mereka mampu mengangkatnya sendiri ke ruang simpanan.
“Perubahan ini dibuat selepas kajian meluas dan maklum balas daripada pelanggan serta kru yang secara konsisten mengenal pasti proses menimbang beg di pintu masuk pesawat dan kesukaran mencari ruang dalam tempat simpanan sebagai antara perkara paling memberi tekanan ketika berada di lapangan terbang,” kata Jetstar.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar, Stephanie Tully berkata, perubahan itu akan mengoptimumkan penggunaan ruang simpanan di kabin, melancarkan proses menaiki pesawat dan membantu lebih banyak penerbangan berlepas mengikut jadual.
Beberapa syarikat penerbangan tambang murah lain seperti EasyJet dari Britain dan Ryanair dari Ireland turut menggunakan polisi serupa.






