ISLAM memandang pekerjaan sebagai suatu yang bernilai tinggi, malah bekerja untuk memperolehi pendapatan yang halal merupakan satu jihad.
Umar Al-Khattab RA menyatakan, keadaan yang paling dia sukai apabila ajal menjemputnya adalah apabila dia sedang berjihad di jalan ALLAH dan keadaan dia sedang mencari rezeki kurniaan-NYA.
ALLAH SWT berfirman: “Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada rezeki anugerah ALLAH, sebahagian yang lain pula berperang di jalan ALLAH.” (Surah al-Muzzammil: 20)
“Setiap usaha yang dilakukan manusia sama ada bekerja mencari nafkah untuk menyara diri, ahli keluarga atau membantu sanak saudara dan jiran tetangga, pada hakikatnya diletakkan setaraf dengan kedudukan jihad di jalan ALLAH.
“Junjungan besar Nabi Muhammad SAW sentiasa merangsang dan memotivasi para sahabat agar bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki halal.
“Ini kerana pekerjaan yang baik merupakan suatu ibadah yang bakal mendapat ganjaran dan keampunan ALLAH SWT,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) baru-baru ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat lelah kerana mencari rezeki halal, maka dia bermalam dalam keampunan (ALLAH).” (Hadis Riwayat At-Tabarani)
GAYA hidup melampau menjadi punca kepada pelbagai penyakit dalam masyarakat termasuk curi tulang ketika bekerja. Foto Canva
Menurut MAIK, penegasan mengenai kepentingan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri tanpa meminta-minta mengharapkan balasan ihsan orang lain turut ditekankan oleh Rasulullah SAW berdasarkan sepotong hadis: “Makanan yang terbaik yang dimakan oleh seseorang itu ialah makanan yang diperolehi daripada hasil kerjanya sendiri,” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ujar khatib, keyakinan bahawa titik peluh yang mengalir untuk mencari rezeki halal akan dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH SWT akan menimbulkan perasaan lebih menghargai dan mencintai pekerjaan yang dilakukannya.
“Kerja yang dilakukan dengan penuh kesungguhan tanpa unsur penyelewengan akan mengundang keberkatan dan keredaan, sebaliknya pelakuan jenayah dan curang hanya akan membawa padah,” katanya.
Nabi Daud AS sebagai tukang besi
Abu Al-Lais As-Samarqandi meriwayatkan, Nabi Daud AS biasa keluar mengembara, lalu Baginda bertanya kepada orang ramai tentang perilakunya.
Maka suatu hari malaikat Jibril menjelma dirinya sebagai anak Adam sehingga ditegur oleh Nabi Daud: “Wahai pemuda, apakah pendapatmu tentang Daud?”
Jawabnya: “Hanya ada satu sifat yang kurang baiknya.” Ditanya apakah itu? Jawabnya: “Dia makan dari Baitulmal, sedangkan tiada seorang hamba yang disayangi oleh ALLAH lebih daripada orang yang makan daripada hasil tangannya sendiri.”
Maka kembalilah Nabi Daud ke rumahnya sambil menangis memohon kepada ALLAH: “Ya ALLAH, ajarlah kepadaku usaha yang dapat aku kerjakan sehingga aku tidak lagi mengambil belanja daripada Baitulmal.”

MENCARI sumber pendapatan halal merupakan jihad buat umat Islam. Foto Canva
Khatib kemudiannya menyambung, maka ALLAH mengajar Baginda membuat pakaian perang dan membentuk besi dengan tangannya.
“Setelah itu setiap kali selesai melayani keperluan rakyatnya, Baginda kembali ke rumahnya, membuat baju besi dan dijualnya untuk belanja keperluan keluarganya. Demikianlah ALLAH SWT menceritakan Nabi Daud menerusi al-Quran,” jelasnya.
ALLAH berfirman: “Dan Kami ajarkan pula kepada Daud cara membuat pakaian perang daripada besi untuk kamu guna melindungimu pada waktu perang. Adakah kamu bersyukur?” (Surah al-Anbiyak: 80)
Gaya hidup punca penyakit dalam kerja
Sambungnya, orang bijak pandai menyatakan, carilah rezeki yang halal dan jauhilah rezeki yang haram, hindarilah dirimu untuk mengemis daripada orang lain, berdagang itu lebih baik daripada menjadi pegawai.
“Gunakanlah duitmu untuk berdagang dan hiduplah dengan cara yang sederhana. Kebelakangan ini kita sedang menyaksikan semakin meluasnya gaya hidup menyeleweng seperti terlalu berfikir untuk keperluan diri sendiri atau terlalu tamak dan ingin menjadi sangat kaya dengan jalan pintas.
“Gaya hidup seperti inilah yang menjadi punca menularnya berbagai-bagai penyakit dalam masyarakat seperti rasuah, penipuan, pecah amanah, curi tulang dalam bekerja dan lain-lain yang boleh menjejaskan keberkatan dalam bekerja,” hurainya.

REZEKI yang halal menatijahkan hidup yang berkat untuk semua ahli keluarga. Foto Canva
Jelas MAIK, apabila hilangnya keberkatan, manusia tidak lagi beroleh kebahagiaan hakiki dan ketenangan hidup yang dijanjikan ALLAH.
“Bila hilangnya keberkatan menyebabkan hidup manusia sentiasa dalam kesulitan, kepayahan dan kerungsingan.
“Suami isteri berselisih, anak-anak menumbulkan masalah, malah rezeki yang diperolehi tidak pernah cukup dan menggembirakan isi keluarga.
“Oleh sebab itulah pentingnya mencari rezeki halal dengan berpegang kepada prinsip dan nilai-nilai Islam,” tegas khatib.





