Mana-mana pihak yang menyebabkan kerugian atau melanggar undang-undang susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disiasat dan dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata beliau menyambut baik pendirian Perdana Menteri yang menegaskan agar semua pihak yang terbabit dengan sebarang salah laku disiasat tanpa kompromi.
“Sebab itu, saya menyambut baik pendirian Perdana Menteri bahawa mana-mana pihak yang menyebabkan kerugian atau melanggar undang-undang hendaklah disiasat.
“Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, biarlah lunas undang-undang menjalankan tanggungjawabnya,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan Laporan RCI yang diumumkan semalam perlu dijadikan pengajaran besar supaya kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.
Artikel lain: RCI Tabung Haji: Kebenaran terbukti! Asyraf Wajdi luah syukur, saman RM5 juta bakal menanti pemfitnah
Menurutnya, laporan itu memperincikan bahawa masalah yang melanda TH berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, pengurusan kewangan yang lemah serta kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang sehingga mengakibatkan defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014.
“Laporan itu menjelaskan bahawa masalah yang dihadapi Tabung Haji berpunca daripada kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, pengurusan kewangan yang lemah serta kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang, sehingga mewujudkan defisit antara aset dan liabiliti sejak tahun 2014,” katanya lagi.
Fuziah berkata, ketika diberi amanah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari 2018 hingga 2020, antara keutamaan kerajaan ketika itu adalah memastikan proses pemulihan TH dapat dilaksanakan bagi melindungi simpanan pendeposit serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.
“Proses pemulihan yang dimulakan pada 2018 adalah langkah penting untuk mengembalikan kestabilan institusi ini.
“Namun, pemulihan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya apa yang berlaku mesti dijadikan iktibar agar kesilapan sama tidak berulang lagi,” katanya.
Beliau turut menegaskan TH dibina atas asas kepercayaan umat Islam dan amanah itu hanya dapat dipelihara menerusi tadbir urus yang baik, ketelusan serta akauntabiliti.
“Semoga segala syor RCI dapat dilaksanakan untuk memastikan institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam ini terus kekal kukuh untuk generasi akan datang,”ujar beliau.
Sumber: Harian Metro (Muhamaad Razis Ismail)







