July 23, 2024

Jika ada PRK Jeli, Gua Musang saya mungkin akan bertanding – Ibrahim Ali

Jika ada PRK Jeli, Gua Musang saya mungkin akan bertanding – Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Jeli sekiranya berlaku kekosongan.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia bergantung kepada kata putus partinya jika mahu meletakan calon sekiranya berlaku PRK di Parlimen berkenaan.

“Kalau ada PRK (Parlimen) Jeli atau Gua Musang saya tidak menolak kemungkinan akan bertanding di negeri Kelantan, tapi parti belum mesyuarat dan belum putuskan samada Putra akan bertanding.

“Jadi saya serah kepada kepimpinan parti, kita kena bincang cumanya saya nak beritahu sekiranya mahu bertanding (di PRK Jeli atau Gua Musang), kita kena ada perhitungan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Ibrahim berkata demikian menjawab pertanyaan wartawan samada Putra ingin meletakkan calon di PRK DUN Nenggiri.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri, Kelantan pada 28 Jun ini susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Mengulas mengenai PRK DUN Nenggiri, Ibrahim berkata, sebagai parti politik Putra akan mempertimbangkan samada mahu meletakkan calon atau tidak.

Ini kerana menurut Ibrahim, parti perlu membuat pertimbangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Kita tidak boleh bertindak dengan tanpa pertimbangan bila bertanding kita nak menang tapi ada juga menyatakan sebagai parti politik bertanding kena bertanding kalah menang belakang kira,” katanya lagi.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula pada Rabu.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu berhubung keahlian Mohd Azizi yang juga ADUN Nenggiri itu terbatal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada PRU15 lalu, calon Pas, Mohd Azizi Abu Naim dari Bersatu menang dengan undian 6,431 mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,682 undi.

Mohd Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gua Musang itu berkata, kekakalan di Nenggiri buat pertama kali itu hanya kekalahan tipis dengan majoriti 749. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top