Pemain-pemain Harimau Malaya yang bakal mengalas cabaran negara dalam saingan Piala ASEAN yang menyingkap 8 Disember ini. Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia.
BARISAN pemain yang dipanggil untuk Kejuaraan Piala ASEAN bermula 8 Disember ini perlu membuktikan mereka lebih baik daripada tonggak Harimau Malaya sebelum ini.
Itu cabaran yang dilontarkan bekas pemain Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir Ismail terhadap pemain-pemain Pau Marti Vicente bagi temasya mini Piala Dunia dalam kalangan negara Asia Tenggara berkenaan.
“Sejujurnya bukan mudah mendapat peluang menyarung jersi pasukan negara bagi mengharungi Kejuaraan Piala ASEAN dan bukannya kelab atau aksi persahabatan.
“Ketiadaan pemain-pemain tonggak JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Selangor FC juga boleh diibaratkan rahmat kepada pemain-pemain ini menunjukkan mereka lebih baik daripada pemain-pemain utama sebelum ini.
“Selain itu, pemain yang kurang mendapat panggilan mewakili negara harus bermain menggunakan akal dan bukannya kudrat tenaga semata-mata,” katanya kepada Sukan Sinar.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain untuk Kejuaraan Piala ASEAN yang bermula 8 Disember hingga 5 Januari depan.
Harimau Malaya tanpa kelibat pemain utama dua kelab teratas Liga Super, JDT dan Selangor FC sebaliknya akan menampilkan skuad gabungan.
Pada masa sama, Jamal juga memuji kelab-kelab Liga Super yang mengambil tanggungjawab melepaskan pemain utama masing-masing demi tugasan untuk skuad kebangsaan.
“Saya tabik hormat pasukan-pasukan Liga-M (Liga Malaysia) yang berjiwa besar sanggup melepaskan pemain utama masing-masing bagi menghadapi saingan Piala ASEAN walaupun saingan domestik sedang berlangsung.
“Ia juga peluang terbaik kepada jurulatih kelab-kelab untuk menguji pemain simpanan masing-masing selepas pemain-pemain utama dipanggil mewakili negara,” katanya.
PIALA ASEAN
KUMPULAN A
Ahad (8 Disember)
Kemboja lwn Malaysia
(Stadium Olimpik, Phnom Penh, 6.30 petang)
Rabu (11 Disember)
Malaysia lwn Timor-Leste
(Stadium Nasional, Bukit Jalil, 9 malam)
Sabtu (14 Disember)
Thailand lwn Malaysia
(Stadium Rajamangala, Bangkok, 9 malam)
Jumaat (20 Disember)
Malaysia lwn Singapura
(Stadium Nasional, Bukit Jalil, 9 malam)