September 8, 2024

Johari buat keputusan janggal, tidak kosongkan kerusi 6 MP berpaling tadah

Johari buat keputusan janggal, tidak kosongkan kerusi 6 MP berpaling tadah


KUALA LUMPUR – Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah daripada parti mereka dilihat sangat janggal dan tidak konsisten.

Ini kerana, menggunapakai Akta Lompat Parti sama yang diluluskan di Dewan Rakyat, tetapi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri boleh pula kerusi dikosongkan dan perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.

Beliau berkata, di Gua Musang individu yang berpaling tadah sebagaimana berlaku di DUN Nenggiri, kini tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen tersebut, termasuklah lima Parlimen lain yang melakukan perkara sama.

“Wakil rakyat dipilih oleh rakyat atas tiket parti. Amat jarang wakil rakyat dipilih di kalangan individu yang bertanding atas tiket bebas.

“Oleh itu, mandat yang diberikan oleh rakyat adalah kepada parti…justeru, wakil rakyat yang dipilih perlu taat setia pada parti mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahir Adnan

Menurut Shahir, adalah dicadangkan supaya memasukkan kembali perenggan yang dibuang dalam akta lompat parti, iaitu perlu mengosongkan kerusi sekiranya seseorang ahli Parlimen atau DUN dibuang daripada parti mereka kerana tindakan disiplin.

“Kiranya perenggan ini tidak dikeluarkan pada waktu itu, keadaan hari ini tidak akan berlaku. Ini adalah “loop hole” akta lompat parti,” ujarnya.

Tambah beliau, menerusi penambahbaikan akta tersebut, ia diharapkan akan menghapuskan “katak-katak” politik yang menunggang nama rakyat demi mendapatkan habuan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top