July 27, 2024

Jojo, skuad takraw raih anugerah khas SAM

Jojo, skuad takraw raih anugerah khas SAM


ATLET seni mempertahankan diri muda negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), skuad regu dan double sepak takraw negara dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 yang akan berlangsung Khamis ini.

Naib Presiden SAM Mohd Hazreen Mubarak menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan ia susulan pencapaian membanggakan atlet tersebut pada tahun lalu, sekali gus melayakkan mereka menerima anugerah berkenaan tahun ini.

“Bakat Jojo mula menjadi tumpuan ketika meraih emas di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Beliau wajar dijadikan contoh buat atlet muda negara… Selain itu, semangat juang tinggi ditunjukkan oleh pasukan regu dan double ketika menundukkan Thailand tempoh hari mempunyai nilai tersendiri.

“SAM melihat pencapaian Jojo dan skuad sepak takraw adalah satu sejarah justeru selayaknya Jojo, regu dan double sepak takraw Malaysia dipilih menerima Anugerah Khas ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SAM.

Anugerah khas berkenaan akan disampaikan pada majlis yang dijadual berlangsung pada 6 Jun di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dengan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top