Joohari berlapang dada terima kekalahan

Joohari berlapang dada terima kekalahan


NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin menerima secara terbuka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang menyaksikan beliau tewas dengan calon Perikatan Nasional dengan majoriti 4,267 undi.

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Cikgu Joohari turut menghormati isyarat yang dizahirkan pengundi kawasan itu sekali gus menerima kekalahannya secara berlapang dada.

“Keputusan yang telah diberikan dalam pilihan raya adalah isyarat rakyat bahawa ini adalah pilihan mereka. Kita boleh terima dengan lapang dada dan kita percaya bahawa rakyat cerdik dalam membuat keputusan.

“Cuma kita mengharapkan supaya rakyat yang cerdik ini menggunakan pertimbangan berdasarkan kepada bahan-bahan yang lebih menyebabkan mereka membuat keputusan yang betul tapi saya percaya bahawa rakyat dah menilai dari semua sudut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) Perpaduan di Sungai Bakap di sini malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR,  Nurul Izzah Anwar dan barisan kepemimpinan PKR negeri.

Mengulas lanjut, Joohari menyifatkan PRK kali ini merupakan pilihan raya yang terbaik dilaksanakan jentera Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Abidin  yang juga Naib Yang Dipertua Pas itu memperoleh 14, 489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin yang meraih 10,222undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Sungai Bakap di sini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top